Digaji sehingga RM5,000 sebulan jaga rokok seludup

Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan antara rampasan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Banting pada Rabu.
Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan antara rampasan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Banting pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran rokok seludup diberkas polis bersama 2,094 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah kediaman di Telok Panglima Garang di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan di rumah teres dua tingkat itu dilakukan pada jam 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4.

Menurutnya, melalui soal siasat, suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai diberi bayaran RM3,000 hingga RM5,000 sebulan sebagai penjaga stor rokok seludup.

"Kita percaya rumah terbabit disewa RM1,500 dan kegiatan itu telah aktif sejak setahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Khamis.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan itu adalah menyeludup masuk rokok dari negara jiran melalui jalan laut sebelum mendarat di sekitar perairan Selangor.

Katanya, polis percaya rokok itu adalah untuk pasaran tempatan dan dijual di kedai runcit sekitar Lembah Klang.

"Dipercayai satu peti berisi 50 karton itu boleh dijual dengan harga RM2,000. Siasatan juga masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang kegiatan terbabit," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: