Pura-pura pandu uji sebelum larikan pacuan empat roda

Polis berjaya menjejaki dan mengesan suspek sedang memandu kenderaan terbabit di persimpangan lampu isyarat di Pendang pada jam 1.30 petang pada Rabu. - Foto PDRM
Polis berjaya menjejaki dan mengesan suspek sedang memandu kenderaan terbabit di persimpangan lampu isyarat di Pendang pada jam 1.30 petang pada Rabu. - Foto PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Polis berjaya menahan seorang lelaki dalam tempoh tiga jam selepas melarikan sebuah pacuan empat roda dari sebuah kedai menjual kenderaan di Jalan Langgar dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek berusia 43 tahun itu hadir ke kedai berkenaan dan menyatakan mahu membeli kenderaan jenis Toyota Hilux pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, pemilik kedai yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membenarkan suspek memandu uji kenderaan terbabit.

"Selepas menunggu lama dan suspek tidak kembali dengan kenderaan berkenaan, pemilik kedai bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar.

"Tidak lama selepas itu polis berjaya menjejaki dan mengesan suspek sedang memandu kenderaan terbabit di persimpangan lampu isyarat di Pendang pada jam 1.30 petang," katanya semasa dihubungi pemberita pada Rabu.

Ahmad Shukri berkata, suspek berusaha untuk melarikan diri bersama kenderaan yang dicurinya sebelum dipintas oleh kenderaan polis.

Katanya, suspek bersama kenderaan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: