Anak dilahir dalam pacuan empat roda digelar Mat Triton

Bayi kepada kepada Mohd Safiq digelar Mat Triton kerana dilahirkan di dalam kenderaan pacuan empat roda itu- Foto ihsan Mohd Safiq
Bayi kepada kepada Mohd Safiq digelar Mat Triton kerana dilahirkan di dalam kenderaan pacuan empat roda itu- Foto ihsan Mohd Safiq
A
A
A

REMBAU - [DIKEMASKINI] Seorang penjawat awam tidak menjangka hasrat menyambut sendiri kelahiran anak keempatnya menjadi kenyataan apabila isterinya bersalin dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka, pada Isnin.

Insiden tidak disangka itu berlaku ketika Mohd Safiq Jamaluddin, 36, dalam perjalanan ke Hospital Rembau menghantar isterinya, Nor Anis Mohd Arif, 37, kira-kira jam 9.45 malam.

Malah disebabkan anak lelakinya dilahirkan di dalam kenderaannya itu, dia digelar sebagai Mat Triton.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Safiq berkata, isterinya mengadu sakit perut sejak pagi hari raya ketiga, namun enggan ke hospital kerana beranggapan hanya sakit biasa.

"Lagi pun isteri dijangka bersalin 8 Mei. Jadi, dia tak rasa yang sakit itu disebabkan mahu bersalin.

"Tapi disebabkan dia alami sakit berterusan sehingga malam, saya ajak dia ke hospital yang jaraknya kira-kira lapan kilometer dari rumah kami di Kampung Batu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, disebabkan keadaan jalan yang agak sesak berikutan orang ramai keluar beraya menyebabkan perjalanannya ke hospital dirasakan jauh.

"Keadaan menjadi lebih panik apabila isteri memaklumkan bayi sudah keluar.

"Saya minta dia bertahan sehingga sampai ke hospital tetapi isteri beritahu bayi sudah keluar. Saya meraba di bawah kain isteri dan terasa seperti kepala bayi," katanya.

Bimbang akan keselamatan isteri dan anaknya, Mohd Safiq berkata, tanpa berfikir panjang dia masuk ke laluan bertentangan sambil meminta kenderaan lain memberi laluan.

"Sebaik tiba, pengawal keselamatan bertanya apa yang berlaku dan mereka mula berhubung dengan 'walkie-talkie' sebelum kakitangan hospital lain melakukan tugas mereka untuk menyelesaikan bayi terlebih dulu.

"Alhamdulillah, isteri dan anak saya selamat. Saya bersyukur Allah makbulkan hajat saya untuk sambut sendiri kelahiran anak kami walaupun ia berlaku di dalam kenderaan," katanya.

Sementara itu katanya, dia memang berhasrat menyambut kelahiran anaknya kali ini kerana tidak berkesempatan melakukannya terhadap tiga anak lain.

"Sebelum ini saya pernah beritahu kawan mengenai hasrat saya ini, namun mereka beritahu dengan SOP (prosedur operasi standard) hospital ketika ini, agak mustahil menyambut anak sendiri.

"Tapi tak sangka dapat juga saya sambut kelahiran anak keempat ini walaupun dalam keadaan yang agak mencemaskan.

"Sebelum ini saya ada terfikir kalau anak keempat ini saya tak dapat juga sambut, nampaknya kami kena tambah anak lagi," katanya secara berseloroh.

Lebih melucukan katanya, ahli keluarga dan kakitangan hospital menggelarkan anaknya Mat Triton.