Lantikan politik di Perak ikut kelayakan

Saarani menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. FOTO PEJABAT MB PERAK
Saarani menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. FOTO PEJABAT MB PERAK
A
A
A

IPOH - Pelantikan mana-mana individu atas kuota politik di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun di Perak akan dibuat berdasarkan kelayakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap individu yang dinamakan oleh parti-parti politik kerajaan untuk mengisi kekosongan jawatan di dalam GLC atau badan-badan berkanun negeri akan dilihat dari segi latar belakang sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Menurutnya, lantikan tersebut tidak akan bersandarkan kepada jawatan individu berkenaan di dalam parti semata-mata tetapi turut melihat kriteria lain.

"Kita tidak mahu diperlihatkan lantikan politik ini adalah melantik orang politik di dalam GLC yang penting seperti mana di peringkat Persekutuan juga, iaitu orang yang dilantik ini adalah orang-orang yang pada pendapat kita mempunyai kelayakan.

"Katakanlah nak letak seseorang sebagai lembaga pengarah Lembaga Air Perak (LAP). Dia ada latar belakang jurutera pada masa yang sama dia adalah orang politik. Itu maksudnya," kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

SAARANI
SAARANI

Beliau berkata, individu yang dilantik itu bukan sahaja mewakili partinya tetapi turut mempunyai kepakaran yang sesuai dengan agensi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk melihat sejauh mana serius kejadian tanah runtuh berhampiran Pos Dipang, Kampar.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga minta agensi terlibat kenal pasti punca kejadian sama ada disebabkan hujan atau berlaku kerja-kerja tanah berhampiran kawasan terbabit.

"Bagaimanapun sehingga kini belum ada penduduk yang dipindahkan dan jabatan teknikal sedang meneliti sebelum tindakan lanjut dibuat," jelas beliau.