MITI sedia bantu industri harungi kelembapan ekonomi global

Tengku Zafrul (kiri) ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Presiden Eksekutif Microsoft , Jean-Philippe Courtois semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahunan ke-53, pada Rabu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (kiri) ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Presiden Eksekutif Microsoft , Jean-Philippe Courtois semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahunan ke-53, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

DAVOS (Switzerland) - Walaupun perdagangan global diunjur mencecah paras AS$32 trilion (RM138.6 trillion) pada 2022, namun prospek bagi 2023 dijangka suram berikutan ketegangan geopolitik yang berlarutan, harga tenaga tinggi, kenaikan kadar faedah dan inflasi yang berterusan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah bersiap sedia untuk membantu industri dan perusahaan mengharungi cabaran yang disebabkan oleh jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global.

"Faktor-faktor global tersebut jelas sekali di luar kawalan kita. Tetapi kita boleh mengawal dasar yang akan, sebagai contoh, membantu industri utama kita membina rantaian bekalan dan daya tahan pasaran dan membangunkan kapasiti pengeksport kita bagi memenuhi permintaan pasaran berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya pada Rabu menerusi platform media sosial beliau.

Tengku Zafrul ketika ini sedang mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Forum Ekonomi Dunia ke-53 di Davos, Switzerland.

Pada 2022, perdagangan Malaysia bernilai RM2.8 trilion, melepasi paras RM2 trilion bagi tahun kedua berturut-turut. Eksport mencecah RM1.6 trilion, mengatasi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24 peratus -- tiga tahun mendahului sasaran.

Manakala import melepasi paras RM1 trilion buat pertama kali, mencecah hampir RM1.3 trilion pada 2022.

Bagi 25 tahun berturut-turut sejak 1998, Malaysia merekodkan lebihan perdagangan. Angka lebihan 2022 itu juga merupakan yang terbesar pernah direkodkan.

Memandangkan landskap global yang mencabar pada 2023, MITI telah mula meneroka pelbagai jalan untuk melindungi permintaan, meningkatkan penawaran dan memastikan akses pasaran yang berterusan terutamanya bagi barangan perkilangan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MATRADE dan agensi penggalakan pelaburan yang relevan di bawah MITI akan mencari jalan bagaimana mereka boleh memantapkan daya tahan perniagaan industri utama dari dalam kerana ini akan menjadi pertahanan terbaik Malaysia terhadap ketidaktentuan pasaran luaran dan membantu mengekalkan pekerjaan.

"Antara inisiatif utama yang akan diteruskan oleh MITI adalah melaksanakan kerjasama dengan kementerian dan agensi relevan menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Eksport.

"Ini adalah untuk memastikan penyelarasan program penggalakkan eksport yang lebih cekap bagi menjana dan meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa,” katanya.

Menerusi inisiatif Empower Trade Associations (ETA) yang memperkasakan persatuan perdagangan, MITI akan terus menyokong aktiviti penggalakan perdagangan terutamanya produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi inovatif bernilai tinggi serta produk patuh ESG) di pasaran baharu dan negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia.

"Saya yakin ini akan membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai pasaran baharu di samping mengukuhkan integrasi mereka dalam rantaian nilai global. Lebih banyak kepelbagaian pasaran kita, kita akan dapat menguruskan risiko kegawatan pasaran dengan lebih baik lagi,” kata Tengku Zafrul.

Mengulas mengenai syarikat pertengahan, beliau berkata sektor itu menyumbang 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dan menggunakan khidmat 16 peratus daripada tenaga kerja Malaysia pada 2019.

"Meskipun membentuk kurang dua peratus daripada perniagaan di Malaysia, syarikat pertengahan memainkan peranan penting dalam membangunkan lebih daripada 7,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam ekosistemnya.

"MITI sedang mencari jalan bagaimana untuk menyokong dengan lebih baik lagi syarikat pertengahan ini dan dengan berbuat demikian akan mengukuhkan lagi PMKS dalam ekosistem,” katanya.

Tengku Zafrul juga memberi jaminan kepada pemegang kepentingan utama terutamanya industri dan pengeksport bahawa kerajaan akan terus memastikan mereka mendapat manfaat daripada pelbagai FTA yang telah diratifikasikan oleh Malaysia termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata, tarif rendah dan akses pasaran yang terjamin akan membantu menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya tahan dalam mendepani jangkaan cabaran pasaran pada 2023.

"Kita akan terus memantau persekitaran dagangan global bagi memastikan pengeksport kita kekal kukuh untuk berdepan dengan pelbagai isu perdagangan dan pasaran.

"Saya yakin kerjasama antara MITI, Matrade dan pemain industri dalam melaksanakan program eksport negara akan menyediakan lebih banyak peluang eksport serta menyokong pertumbuhan perdagangan Malaysia,” katanya. - Bernama