95 pelajar kita di Sudan masih berlindung di Rumah Malaysia

Krisis politik kian memuncak di Sudan. - Foto International Action Centre
Krisis politik kian memuncak di Sudan. - Foto International Action Centre
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 95 pelajar Malaysia di Sudan kini mendapat perlindungan sementara di Rumah Malaysia iaitu kediaman rasmi Duta Besar di Al Riyadh selepas negara berkenaan mengenakan perintah darurat susulan pergolakan politik yang melanda negara berkenaan.

Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan melalui satu kenyataan berkata, enam pelajar Malaysia pula sudah pulang ke tanah air.

“Education Malaysia Mesir (EME) dimaklumkan seorang daripada 96 pelajar berlindung di Rumah Malaysia atas faktor keselamatan selamat sampai di Malaysia menjadikan keseluruhan pelajar yang masih berada di Rumah Malaysia seramai 95 orang.

“Jumlah pelajar Malaysia di Sudan adalah seramai 101 pelajar yang mana 95 daripada mereka berada di Khartoum dan enam orang berada di Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Tinggi berkata, universiti-universiti di Sudan masih ditutup dan tarikh dibuka semula belum diketahui.

“Pelajar Malaysia kebanyakannya menetap di sekitar Khartoum iaitu Makrumah, Arkaweet dan Mujahideen.

“Sebahagian daripada mereka pula ada yang menetap di Asrama Turki iaitu asrama diuruskan oleh badan bukan kerajaan Negara Turki dan Asrama Universiti Antarabangsa Afrika, selain di Kompleks Petronas Khartoum iaitu bagi mereka yang bertugas sebagai imam,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan Sudan mengisytiharkan darurat tiga bulan berikutan krisis politik yang kian meruncing.

Artikel Berkaitan:

Pengisytiharan darurat itu bukan hanya membabitkan perintah berkurung tetapi turut mencakupi penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum selama 27 jam pada 11 April.

Dalam pada itu, EME akan terus mendapatkan perkembangan terkini daripada Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan untuk menyediakan bantuan sekiranya diperlukan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan jika pergolakan politik di negara itu semakin memuncak.

Media antarabangsa melaporkan, Presiden Omar al-Bashir dipaksa meletak jawatan oleh tentera, selepas tiga dekad memerintah dan usaha baharu sedang dilakukan untuk membentuk majlis peralihan bagi mentadbir negara itu.

Bashir sebelum ini mengisytiharkan darurat selama setahun di seluruh negara dan membubarkan kerajaan sebagai usaha membendung rusuhan yang menggugat rejim pimpinannya.