Kerajaan pertimbang peguam swasta untuk bantuan guaman

Azalina Said ketika berucap pada Bengkel Reformasi Institusi bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini. - Foto Bernama
Azalina Said ketika berucap pada Bengkel Reformasi Institusi bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertimbangkan khidmat peguam swasta supaya lebih ramai individu yang tidak berkemampuan membayar yuran guaman, dapat dibantu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, buat masa ini kerajaan menyediakan bantuan guaman melalui Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagaimanapun, sistem bantuan guaman sedia ada katanya, perlu dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan (access to justice).

“Perkhidmatan guaman merupakan komponen yang penting untuk menegakkan keadilan, namun bukan setiap rakyat Malaysia dapat menanggung kos guaman. Sekiranya perlu, Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda.

“Bantuan guaman daripada peguam luar adalah salah satu langkah penyelesaian yang akan dilakukan oleh kerajaan kerana kita tidak boleh meletakkan semua beban kepada Jabatan Bantuan Guaman sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 bertempat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Azalina menambah, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia iaitu badan bebas yang menangani aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan akan dipertimbangkan.

Jelasnya, ia selari dengan agenda penting Kerajaan Perpaduan iaitu ketelusan dan integriti institusi.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu apabila individu itu adalah pegawai kerajaan, dia ada perlindungan di bawah perlembagaan. Kita tidak boleh main buang sahaja, paling teruk pun, dipindahkan atau dikenakan tindakan disiplin.

“Apabila orang awam tidak berpuas hati, mereka boleh bawa aduan ke belah mana, jadi itu mesti dinilai semula. Sebab itu juga, saya mahu dengar dapatan daripada bengkel ini,” katanya.