Gajah liar dipindah ke Taman Negeri Royal Belum

Seekor gajah liar jantan berusia 20 tahun (belakang) dari Kampung Sungai Taku, Pasir Kelang, Kuala Krai telah dipindahkan ke TNRB, Perak pada Selasa.
Seekor gajah liar jantan berusia 20 tahun (belakang) dari Kampung Sungai Taku, Pasir Kelang, Kuala Krai telah dipindahkan ke TNRB, Perak pada Selasa.
A
A
A

KUALA KRAI - Seekor gajah liar jantan berusia 20 tahun dari Kampung Sungai Taku, Pasir Kelang di sini yang sebelum ini mengganggu kehidupan penduduk selepas habitatnya dipercayai diceroboh telah dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum (TNRB), Perak pada Selasa.

Gajah seberat 2 tan tersebut terpaksa dipindahkan selepas usaha menghalau mamalia berkenaan yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya kembali semula ke Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku di sini tidak berhasil.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah liar tersebut ditangkap bagi mengelak kerugian berterusan kepada penduduk setempat.

"Selain itu ia bagi memastikan keselamatan penduduk dan gajah terjamin.

"Disebabkan pencerobohan oleh gajah liar berkenaan, penduduk telah mengalami kerugian sekitar RM65,000," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, operasi tersebut turut disertai oleh kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Pahang menggunakan khidmat dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Abot.

Ujarnya, tindakan tangkap pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun penduduk berhampiran hutan simpan.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dalam tempoh beberapa bulan lagi gajah liar lain dari kawasan hutan simpan berkenaan akan kembali ke kawasan kebun penduduk berikutan tarikan sumber makanan seperti tanaman pisang dan kelapa sawit.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu cadangan pembinaan sistem pagar eletrik gajah (SPEG) merupakan langkah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun dan seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.

"Walau bagaimanapun, pembinaan SPEG hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan ianya berfungsi dan efektif," katanya.