Pembantu tadbir mengaku salah palsu dokumen sewa kantin

Pembantu tadbir sekolah didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 57 pertuduhan memalsukan dokumen bagi kemasukan wang sewaan kantin.
Pembantu tadbir sekolah didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 57 pertuduhan memalsukan dokumen bagi kemasukan wang sewaan kantin.
A
A
A

IPOH - Seorang pembantu tadbir sekolah didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas 57 pertuduhan memalsukan dokumen bagi kemasukan wang sewaan kantin berjumlah RM28,797.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Syazwanuddin Sahimi, 35, selepas semua pertuduhan dibacakan.

Tertuduh turut diperintahkan dipenjara 13 bulan dan empat hari lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun RHB Bank Berhad dengan nombor akaun 20808910141180 bagi tempoh 2014 hingga 2019.

Dokumen atas nama Sekolah Kebangsaan Toh Johan di Trong, Taiping itu adalah untuk tujuan kemasukan wang sewaan kantin dengan jumlah keseluruhan RM28,797 melalui 'cash deposit' yang diketahui sebagai dokumen palsu.

Tertuduh yang bertugas sebagai pembantu tadbir (pengkeranian/operasi) Gred N19 di sekolah berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2014 hingga 2019.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Aidil Arsad.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan perisian Adobe Photoshop CS3 Window untuk membuat pindaan terhadap dokumen penyata RHB Berhad dengan komputer miliknya.

Tertuduh juga menggunakan aplikasi berkenaan dengan mengubah resit CDM RHB Bank Berhad bagi setiap kemasukan wang sewaan kantin sekolah dari tahun 2014 hingga 2019.

Hasil semakan mendapati, sepanjang tempoh tersebut, tertuduh telah gagal memasukkan wang berjumlah RM28,797 ke dalam akaun sekolah sebaliknya digunakan untuk tujuan peribadi.