Pengusaha kantin perlu masak makanan di sekolah

Fadhlina Sidek. - Foto Bernama
Fadhlina Sidek. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha kantin perlu menyediakan makanan bermasak di kantin sekolah berdasarkan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pematuhan kepada perkara tersebut dan segala arahan yang terkandung dalam Garis Panduan Kantin Sekolah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa merupakan salah satu elemen dalam perjanjian berkenaan.

Menurutnya, pihak kementerian sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kesihatan murid berdasarkan Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat (2011).

“Sekiranya pengusaha kantin didapati tidak memasak makanan di dapur kantin sekolah tersebut tanpa sebarang alasan yang munasabah, pihak sekolah melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid hendaklah berbincang.

"Dan memberi nasihat kepada pengusaha kantin, mengambil tindakan berdasarkan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah,” katanya dalam pertanyaan bukan lisan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai pendirian KPM terhadap pengusaha kantin yang memasak di luar walaupun terdapat kemudahan dapur sekolah berkenaan.