'Korban di jalan raya lebih tinggi berbanding Covid-19'

Anthony Loke Siew Fook - Foto Bernama
Anthony Loke Siew Fook - Foto Bernama
A
A
A
SEPANG - Kadar kematian akibat nahas jalan raya didapati menurun sebanyak 160 kes sepanjang tahun lalu berbanding kadar kematian pada 2021.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sejumlah 4,379 kematian direkodkan sehingga September tahun lalu.

"Berdasarkan statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga Disember 2021, sebanyak 370,286 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,539 kematian.

"Manakala, bermula Januari hingga September 2022, sebanyak 402,626 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,379 kematian," katanya ketika melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan tahun 2023 di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara, pada Selasa.

Turut hadir merasmikan program sama adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, daripada jumlah kes kematian itu, sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya, dengan sebanyak 108 kes kemalangan maut dan 119 kes kematian telah direkodkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baharu Cina pada tahun 2022, lalu.

"Kadar kematian sebanyak 119 pengguna jalan raya pada tahun 2022 merupakan kadar yang membimbangkan," katanya.

Dalam pada itu Anthony menegaskan, kadar literasi keselamatan jalan raya di negara ini belum boleh dibanggakan.

Ia apabila kadar tersebut belum mencapai tahap tertinggi yang boleh dibanggakan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kadar kematian ekoran nahas jalan raya di negara lebih banyak daripada orang meninggal dunia semasa Covid-19.

"Ini faktor yang amat membimbangkan kita, tetapi kesedaran orang ramai terhadap kemalangan jalan raya ini tidak sebesar kebimbangan mereka terhadap Covid-19," katanya lagi.