Jimat walau kecil, besar erti kepada peminjam

No Image Caption
A
A
A

RAMALAN pakar ekonomi dan firma penyelidikan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan sebanyak dua kali lagi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun ini meresahkan ramai rakyat yang membuat pembiayaan bank berasaskan kadar apungan.

Jika OPR terus naik, pembiayaan bulanan mereka juga bertambah dan untuk mengelakkan wang yang dikeluarkan melebihi kemampuan, mahu atau tidak rakyat terpaksa mengurangkan pembelian.

Rakyat ketika ini juga sudah dibebankan dengan kenaikan OPR sebanyak empat kali sepanjang tahun lalu yang menjadikan kadarnya pada November lalu adalah 2.75 peratus.

Dalam tempoh itu, ia menyaksikan pertambahan OPR sebanyak 100 mata asas dan apa yang dibimbangi ramai peminjam, firma penyelidikan menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas iaitu pada bulan ini dan menjelang separuh pertama 2023, sekali gus akan meningkatkan kadar itu ke paras 3.25 peratus.

Seandainya meningkat ke tahap tersebut, ia akan menyaksikan OPR naik ke paras lebih tinggi berbanding paras 3.00 peratus pada 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 menyerang negara.

Pada 6 Januari lalu, muka depan Sinar Harian melaporkan keputusan untuk menaikkan OPR bukan suatu keputusan yang mudah untuk BNM.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kalau dibandingkan dengan dua tahun lalu, penutupan sektor ekonomi susulan pandemik Covid-19 meletakkan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang agak tenat umpama pesakit dalam unit rawatan rapi (ICU).

Menurutnya, bagaimanapun, kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur ini sangat diperlukan bagi mengelakkan risiko peningkatan mencanak kadar inflasi akibat peminjaman serta perbelanjaan yang berlebihan atau melampau yang akan mengakibatkan harga barang terus naik lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, ibarat ‘menyokong padi hendak rebah’, penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid mencadangkan supaya kerajaan memberikan subsidi pembayaran bersasar kepada peminjam terkesan.

Menurut beliau, ia merupakan pendekatan baharu yang belum pernah dibuat iaitu kerajaan memberi subsidi kadar kenaikan faedah yang dikenakan kepada peminjam.

Mengulas lanjut cadangan itu, Aimi Zulhazmi berkata, subsidi bersasar kepada peminjam tidak menjadi beban besar kepada kerajaan jika dibandingkan dengan subsidi terhadap bahan api.

“Ini kerana menerusi subsidi bersasar, jumlahnya diketahui dari awal hingga akhir berbanding jumlah subsidi bahan api yang sukar dikawal sepenuhnya kerana berlaku pelbagai kes penyalahgunaan dalam sektor selain penyeludupan ke negara-negara jiran.

“Mengenai subsidi bersasar kepada pinjaman pula, sebagai contoh kadar bayaran balik pinjaman iaitu RM500 sebulan sebelum ini telah naik kepada RM580.

“Apa yang boleh dilakukan adalah kerajaan memberikan subsidi bersasar sebanyak RM80 ke atas kenaikan tersebut dan ia perlu disalurkan kepada bank, maka peminjam masih kekal membayar sebanyak RM500,” katanya.

Saranan itu menunjukkan kerajaan masih boleh berbuat sesuatu untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat sekiranya OPR perlu dinaikkan bagi mengelakkan kesan lebih teruk terpaksa dihadapi peminjam.

Apa yang menjadi kebimbangan juga ketika ini, kenaikan OPR juga kan membuatkan lebih ramai rakyat diisytiharkan muflis kerana gagal membayar pinjaman mereka.

Media pada 5 Januari lalu melaporkan pakar meramalkan jumlah individu muflis boleh mencecah lebih 30,000 kes tahun ini kerana semakin ramai peminjam tidak mampu membayar ansuran bulanan jika OPR dinaikkan.

Jumlah itu berdasarkan kepada jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022.

Seandainya cadangan itu dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya rakyat yang berdepan dengan kos hidup yang tinggi ketika ini tidak perlu mengeluarkan tambahan wang untuk melunaskan bayaran ansuran pinjaman.

Penjimatan walaupun dalam amaun yang kecil sebenarnya amat besar ertinya kepada peminjam yang sedang berdepan dengan masalah kewangan kerana wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barangan yang penting.

* Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Sinar Harian Nasional