PAU 2022: Hormati demokrasi walaupun tak sehaluan

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dipersetujui majoriti perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meninggalkan sedikit kontroversi sebaik persidangan melabuhkan tirai.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, usul berkenaan diluluskan dengan semangat demokrasi apabila majoriti perwakilan yang mewakili ahli peringkat bahagian dari seluruh negara bersetuju meluluskan usul tersebut.

Menurutnya, sekiranya ada pihak menafikan hak agar usul berkenaan dibahaskan bererti ia mematikan demokrasi.

“Menafikan sokongan majoriti perwakilan pada usul tersebut juga tidak adil.

"Malah menafikan usul yang telah diluluskan majoriti secara demokrasi juga zalim bunyinya. Itu tidak demokratik sifatnya,” katanya di sini pada Ahad.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, jangan kerana kemahuan minoriti tidak dituruti maka ada yang menuduh pemimpin atau perwakilan dengan tuduhan yang bukan-bukan.

“Sebaliknya, hormatilah demokrasi secara adil meskipun keputusannya tidak sehaluan dengan kehendak hati kita. Hormatilah pandangan orang lain jika mahu pandangan kita dihormati,” katanya.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah itu lagi, semua peringkat diharap kembali merapatkan saf UMNO dengan menghentikan sengketa sesama ahli dan mengambil sikap ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ada yang kurang senang apabila usul tersebut diluluskan PAU2022 susulan beberapa tokoh menyatakan minat untuk bertanding jawatan berkenaan.

“Maka segelintir berhujah kononnya demokrasi kini tidak subur dan dimatikan dalam UMNO. Hargailah ukhuwah antara kita, hindarkan UMNO daripada sebarang kontroversi perpecahan,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, UMNO sudah cukup terluka sebelum ini apabila dikhianati ‘bekas totok UMNO’.

“Saudara seagama kita pula berlagak suci menikam belakang. Kita dihambur dengan pelbagai tohmahan hingga ditolak bangsa sendiri yang terpengaruh. Luka UMNO pun belum sembuh sepenuhnya, mahu ditambah lagi luka di dada?

“Melayu telah berpecah belah, adalah menjadi tugas UMNO untuk menyatukan semula anak bangsa,” tegasnya.