[VIDEO] Usul tambahan PAU sekat cubaan 'tikam belakang'

MOHAMAD HAMIDI
MOHAMAD HAMIDI
A
A
A

IPOH - Usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti tahun ini mampu menyekat percaturan politik tikam belakang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, sokongan tidak berbelah bahagi perwakilan terhadap usul berkenaan merupakan satu signal penting buat pemimpin yang sedang cuba mencorak agenda secara senyap bagi mewujudkan suasana tidak harmoni dalam parti.

Menurutnya, tindakan ini memperlihatkan kematangan para perwakilan yang berfikiran lebih baik dan lebih memandang jauh dalam usaha menyelamatkan parti dari agenda yang akan memecahbelahkan parti.

"Mempertahankan institusi tertinggi parti adalah kewajaran yang bisa difikirkan dan pilihan terbaik dalam keadaan dan situasi parti hari ini. Dengan lulusnya usul ini, maka pergerakan parti akan terus berjalan dengan baik tanpa sebarang kecelaruan dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya berpandangan dengan usul yang telah diluluskan dapat menyekat percaturan politik tikam belakang secara tidak langsung menghalang golongan tertentu dari memecahbelahkan institusi kepimpinan parti dan memporakperandakan parti yang mana luka kekalahan PRU masih lagi berdarah," katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan pada Ahad.

Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil memaklumkan usul berkenaan disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.