Pengasuh taska didakwa dera bayi

Tertuduh (tengah) mengaku tidak salah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Ahad.
Tertuduh (tengah) mengaku tidak salah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dakwaan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan dalam kejadian awal Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, mengaku tidak bersalah selepas tujuh pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pengasuh didakwa menganiayai mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak bahagian kiri tempurung kepala.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di daerah ini pada 1 hingga 3 Januari lalu.

Wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Sebelum ini media melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Bayi terbabit mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak serta keretakan pada tempurung kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).