16 lelaki ditahan dalam premis judi dalam talian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 lelaki termasuk tujuh warga asing berusia antara 21 dan 65 tahun ditahan dalam serbuan di dua premis rumah kedai di Taman Miharja, Cheras di sini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira pukul 10 malam, polis menahan tiga lelaki Bangladesh, yang mana salah seorang daripadanya merupakan penjaga kaunter, manakala dua lagi adalah pemain judi, bersama tiga pemain warga Pakistan.

“Serbuan yang dijalankan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan Balai Polis Cheras itu turut merampas enam laptop, tiga modem, dua buku catatan dan wang tunai RM100,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di premis berhampiran, polis menahan seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga kaunter dan dua lelaki tempatan sebagai penjaga pintu premis, di samping tujuh lagi lelaki warga tempatan yang berada di premis itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang pemain berusia 65 tahun positif dadah. Dalam serbuan kedua juga kami merampas dua laptop, sebuah modem, sebuah ‘router’, enam telefon bimbit, dua tetikus, enam kad akses masuk ke premis dan wang tunai RM700,” katanya.

Mohamed Mokhsein berkata siasatan awal mendapati premis dalam serbuan pertama baru sahaja beroperasi selama lima hari manakala premis kedua telah beroperasi selama sebulan, dan polis sedang menyiasat sekiranya kedua-dua premis itu didalangi oleh sindiket perjudian yang sama.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan kesemua yang ditahan kini direman selama tiga hari bermula hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: