Selangor sedia cabaran kenaikan kos harga binaan

Amirudin (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan serta penerima Rumah Selangorku pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang pada Jumaat.
Amirudin (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan serta penerima Rumah Selangorku pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri Selangor sentiasa bersedia berdepan cabaran kenaikan harga bahan binaan yang melambung 180 peratus terutama dalam pelaksanaan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan harga bahan binaan itu kesan daripada konflik Russia-Ukraine dan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut beliau, harga bahan binaan seperti simen, batu-bata termasuk besi mengakibatkan segala aktiviti pembangunan perumahan mampu milik yang dalam pembinaan dan perancangan bakal tergendala.

"Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi trend kumpulan B40 yang tinggal di bandar semakin meningkat," katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang di sini pada Jumaat.

Seramai 560 pembeli ditawarkan pemilikan kediaman mampu milik Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang dengan 20 daripada mereka hadir secara simbolik pada majlis berkenaan.

Projek perumahan itu dibangunkan Paramount Property Development Sdn Bhd yang siap dibina melibatkan 650 unit dengan sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 17 November lalu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sedia maklum tentang situasi itu yang semakin mencabar dan pelbagai usaha dilakukan dalam mendepani permasalahan berkenaan.

Jelas beliau, usaha memperkukuh 'smart partneship' membangunkan Rumah Selangorku dengan pihak berkaitan antaranya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, anak syarikat kerajaan negeri seperti

Artikel Berkaitan:

Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holding Berhad serta pemaju perumahan lain.

Beliau memberitahu, sebanyak 386 projek diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melibatkan 221, 671 unit Rumah Selangorku, MBI Idaman dan Rumah Harapan sehingga 1 Januari lalu.

"Sebanyak 93 projek Rumah Selangorku siap dibina dan diserahkan kunci melibatkan 33,061 unit dan dalam pembinaan sebanyak 61 projek membabitkan sebanyak 16, 965 unit Rumah Selangorku.

"Projek belum dibina masih dalam peringkat perancangan untuk mendapatkan kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan," ujar beliau.

Jelas Amirudin, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terlibat dalam penyediaan Rumah Selangorku yang pada masa ini membangunkan lima lokasi melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah.

"Rumah Selangorku itu antaranya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan Projek Rumah Selangor Alam Impian Shah Alam," jelasnya.