Perhilitan buat pemantauan, kawalan kesan beruang dewasa

Perhilitan Kelantan melaksanakan pemantauan dan kawalan di penempatan Orang Asli di Kampung Dakoh, Pos Balar, Kelantan susulan dakwaan kehadiran seekor beruang dewasa. Gambar kecil: Abdul Kadir
Perhilitan Kelantan melaksanakan pemantauan dan kawalan di penempatan Orang Asli di Kampung Dakoh, Pos Balar, Kelantan susulan dakwaan kehadiran seekor beruang dewasa. Gambar kecil: Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan inisiatif kawalan dan pemantauan susulan dakwaan penampakan seekor beruang dewasa di Kampung Dakoh, Pos Balar, di Kelantan memusnahkan kubur dan memakan mayat.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya dari Perhilitan Negeri Kelantan telah membuat tindakan susulan pada Selasa lalu.

Menurutnya, operasi ini turut melibatkan kakitangan daripada Penolong Pegawai Veterinar Perhilitan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Gua Musang.

"Perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa tujuh jam disebabkan bentuk geografi muka bumi yang tidak rata dan perlu menyeberangi aliran sungai yang deras.

Perhilitan Kelantan memasang 24 lampu diod pemancar cahaya (LED) biru di kawasan sekitar perkampungan terbabit
Perhilitan Kelantan memasang 24 lampu diod pemancar cahaya (LED) biru di kawasan sekitar perkampungan terbabit



"Perhilitan telah menjalankan beberapa inisiatif iaitu melakukan perbincangan dan khidmat nasihat bersama penduduk kampung, membuat pemantauan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan kejadian dan pengagihan dan pemasangan 24 lampu diod pemancar cahaya (LED) biru di kawasan sekitar perkampungan terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Abdul Kadir berkata, penduduk diingatkan supaya menghubungi pihaknya sekiranya mengesan kehadiran hidupan liar tersebut.

Tambah beliau, setakat ini tiada kesan ditemui berkenaan kehadiran beruang dewasa di kawasan kampung terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan masih dijalankan untuk mengesahkan dakwaan itu. Kita juga masih belum dapat mengesahkan spesies beruang yang dikatakan itu," ujarnya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar mendakwa seekor beruang dewasa memusnahkan kubur dan memakan mayat.

Dalam kejadian 27 Disember tahun lalu, penduduk mendakwa beruang terbabit menggali kubur, Amek Along, 48, selain memakan sebahagian mayat wanita itu.