TSG tampil lima muka baharu perkuat pasukan 2023

Barisan pelumba TSG pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba Pasukan 2023, malam tadi. Foto Bernama
Barisan pelumba TSG pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba Pasukan 2023, malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempertaruhkan lima muka baharu bagi memperkuat pasukan dan menghadapi musim lebih mencabar tahun ini.

Ia termasuk dua pelumba import iaitu Jesse Ewart dari Australia dan Aiman Cahyadi dari Indonesia yang pakar dalam teknik pendakian.

Bagi pelumba tempatan, muka baharu dibarisi atlet berbakat daripada program Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) iaitu Zuladri Amin Zulkurnain, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dan Kee Zhe Yie.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, lima pelumba berkenaan menggantikan Goh Choon Huat, Jamal Hibatullah, Afiq Huznie Othman dan Zamri Saleh yang dilantik sebagai jurulatih Akademi TSG.

"Jesse Ewart ialah pemenang tempat ketiga keseluruhan Tour du Rwanda 2022 manakala Aiman Cahyadi, juara kebangsaan Indonesia 2022.

"Kedua-duanya mempunyai profil yang mengagumkan dan diharap dapat membantu TSG mencipta kejayaan lebih gemilang musim ini," katanya pada majlis memperkenalkan pelumba dan penaja TSG 2023 di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata, selain lima muka baharu, skuad elit TSG masih mengekalkan khidmat 11 pelumba termasuk Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan dan Irwandie Lakasek.

Artikel Berkaitan:

"Pelumba import yang masih bersama kita ialah Youcef Reguigui, Metkel Eyob, Jeroen Meijers, Jambaljambts Sainbayar dan Anatolli Budiak dari Ukraine... Jurulatih juga masih sama iaitu Jeremy Hunt. Tetapi bagi kapten pasukan kita akan tentukan dalam masa terdekat siapa yang layak menggantikan Zamri selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Che Ku Mohd Izmuddin berkata, TSG juga berjaya melakar pencapaian cemerlang apabila mengekalkan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2022 dengan memenangi 118 podium dan 1,453 mata.

Menurut beliau, kejayaan itu membolehkan TSG mengumpul lebih banyak penajaaan pada tahun ini iaitu lebih RM11 juta berbanding hampir RM9 juta musim lepas.

"Alhamdulillah tahun ini kita terima banyak penajaan bukan sahaja daripada syarikat tempatan, malah juga dari luar negara seperti Jepun, Singapura, Taiwan dan Indonesia.

"Ia adalah jumlah tertinggi yang kita terima sejak penubuhan TSG pada 2011," katanya.

Katanya lagi, sokongan daripada penaja membolehkan TSG membuat lebih banyak perancangan untuk mencapai sasaran sebagai pasukan benua terbaik dunia yang pernah dimenangi pada 2019. - Bernama