PRN: Md Alwi beri laluan kepada muka baharu di Kok Lanas

Md Alwi (empat, kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kok Lanas pada Rabu.
Md Alwi (empat, kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kok Lanas pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad akan memberi laluan kepada muka baharu untuk mempertahankan kawasan milik Barisan Nasional (BN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, keputusan tersebut sekali gus membolehkan muka baharu atau golongan muda menyumbangkan bakti kepada penduduk di kawasan Kok Lanas.

"Pada masa sama saya mahu memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat dan memimpin negara sama ada di peringkat bawah atau atas.

"Pemimpin yang sudah melangkau usia 65 tahun dan ke atas seperti saya, sepatutnya memberi ruang kepada orang muda, orang baharu untuk memimpin negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas pada Rabu.

Menurut beliau, pengalaman terlibat dengan politik sejak tahun 1986 dan menjawat pelbagai jawatan seperti setiausaha politik menteri, setiausaha politik Perdana Menteri, ahli Parlimen, ADUN dan beberapa pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) perlu dikongsi dengan generasi baharu.

Ujarnya, pengalaman tersebut boleh dimanfaatkan dengan melatih generasi baharu bagi mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

"Kalau nak bersara...bersaralah waktu rekod kita bagus. Jangan bersara semasa kita sudah kalah, masa orang sudah benci dan buang kita.

"Anda boleh lihat Tun Musa Hitam, seorang pemimpin yang sentiasa relevan tetapi dia tahu masa hendak berhenti. Takkan kita nak pegang (jawatan) sehingga umur 100 tahun.

"Pada saya, usia 70 tahun sudah maksimum. Dalam bahagian (UMNO Ketereh) saya latih orang muda. Sebab saya dulu pun macam itu dilatih oleh Tun Musa, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramai lagi ketika berada di universiti," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Md Alwi yang memperoleh undian sebanyak 10,921 berjaya menewaskan Nik Mahadi Nik Mahmood dari Pas (9,799 undi) dan Dr Mohd Hanapi Ismail dari PKR (1,779 undi).