Galak penyertaan syarikat swasta bangunkan Kelantan

Ahmad (tengah) melakukan gimik sebagai merasmikan pelancaran Arika Kubang Kerian pada Khamis.
Ahmad (tengah) melakukan gimik sebagai merasmikan pelancaran Arika Kubang Kerian pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menggalakkan penglibatan syarikat swasta dalam perancangan membuka lebih banyak bandar baharu di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, antara sektor penting ialah bidang perumahan dan perniagaan sekali gus membantu pembangunan ekonomi.

"Penglibatan pelabur swasta penting dalam sektor perumahan untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah dan ruang kedai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Pelancaran Arika Kubang Kerian pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Urusan Kumpulan Malvest, Tan Kian Boon.

Selain itu, beliau memberitahu, pembangunan akan memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan.

Menurut beliau, pembinaan Arika seiring rancangan kerajaan negeri membuka lebih banyak bandar baharu termasuk Bandar Baru Nilam Perdana dan Kota Bharu Bandar Madinah As Salam.

"Projek ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri melalui rancangan struktur 2040 untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja Kelantan," katanya.

Arika merupakan pangsapuri perkhidmatan yang menawarkan lebih 45 jenis fasiliti dan berdekatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, seramai 52 penduduk miskin sekitar Kubang Kerian menerima sumbangan daripada Kumpulan Malvest.