PRN: Pemuda UMNO Kelantan ajak perantau ubah negeri

Mohd Azmawi Fikri
Mohd Azmawi Fikri
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan mengajak golongan perantau untuk mengubah negeri ini dengan menukar pucuk pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kegagalan kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pas menyelesaikan banyak perkara melibat kemudahan asas, sosio ekonomi dan sebagainya memperlihatkan tiada sebab untuk terus memberi mandat selepas ini.

"Kepada anak perantau, mari kita berpijak dibumi nyata. Masalah bekalan air yang melanda hampir seluruh negeri seakan tiada titik noktah walaupun Pas sudah diberi mandat selama 33 tahun mentadbir Kelantan.

"Kerajaan negeri seolah selesa dengan masalah ini dan mereka boleh menggunakan masalah itu sebagai penyebab untuk terus menjadi pilihan pada PRN," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, kerajaan negeri boleh meletakkan kesalahan tersebut ke atas kerajaan Persekutuan bagi meraih simpati anak Kelantan di perantauan untuk terus memilih mereka.

Ujarnya, realiti sebenar kerajaan negeri hari ini sudah tiada upaya untuk mentadbir Kelantan demi kesejahteraan rakyat.

Mohd Azmawi memberitahu, Pas Kelantan turut gagal menarik pelaburan baharu bagi mencipta peluang pekerjaan yang baik untuk anak muda.

"Kepimpinan negeri hari ini hanya pandai berjanji setiap kali pilihan raya untuk menggula-gulakan rakyat khususnya perantau.

"Ayuh kita semua cuba lakukan perubahan sedarkan kepimpinan kerajaan Pas Kelantan daripada keselesaan beralasan menggunakan agama dan sentimen kenegerian untuk mengaburi mata anda semua," ujarnya.