'Hati sebak lihat kawasan rumah umpama sungai'

Salah sebuah jambatan yang menghubungkan rumah penduduk rosak akibat arus deras Sungai Rias di Kampung Sahom, Kampar. Gambar kecil dari kiri: Norila, Nasruliyati
Salah sebuah jambatan yang menghubungkan rumah penduduk rosak akibat arus deras Sungai Rias di Kampung Sahom, Kampar. Gambar kecil dari kiri: Norila, Nasruliyati
A
A
A

KAMPAR - Sepasang suami isteri terpaksa mengharungi arus deras sambil mendukung dua anaknya selepas rumah mereka di Kampung Sahom, Jeram di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pada Rabu.

Limpahan air Sungai Rias akibat hujan lebat sekitar jam 6.30 petang itu turut menyebabkan lima jambatan yang menghubungkan lebih 20 rumah penduduk mengalami kerosakan serta terputus.

Bagi Aida Farlyssa Hezetty Mohd Rose Shaharani, 23, pengalaman pertama kali berdepan situasi itu hingga terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak akan dilupakan.

Aida Farlyssa Hezetty mendukung dua anaknya ketika mengharungi banjir di Kampung Sahom, Kampar.
Aida Farlyssa Hezetty mendukung dua anaknya ketika mengharungi banjir di Kampung Sahom, Kampar.

"Paras air meningkat secara mendadak sehingga 0.6 meter menyebabkan saya hanya memikirkan keselamatan Muhammad Adam Daniel Mohd Isma Amil, 2, dan Muhammad Idris, lima bulan.

"Saya bersiap ala kadar dengan bawa beg kelengkapan bayi sambil berpaut pada suami mengharung arus banjir untuk ke tempat tinggi. Hati saya berasa sebak lihat kawasan rumah umpama sungai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom di sini pada Khamis.

Suri rumah, Nasruliyati Lasa, 45, berkata, banjir kilat yang melanda kampungnya itu dianggap sebagai luar biasa selepas tragedi banjir lumpur Pos Dipang berhampiran pada tahun 1996.

"Walaupun kali ini rumah tidak terjejas, saya memilih untuk mendengar arahan pihak berkuasa untuk berpindah kerana satu-satunya jambatan menghubungkan kawasan rumah kami mulai retak dan rosak.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu mengharungi banjir, jambatan itu tiba-tiba mendap menyebabkan saya jerit ketakutan. Mujur ada pihak penyelamat dan penduduk yang sedia membantu sepanjang proses pemindahan," katanya.

Pengusaha kantin, Norila Harun, 53, berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinan anak perempuannya rosak ditenggelami air.

"Kami lakukan persediaaan sedikit demi sedikit termasuk beli perabot baharu minggu lalu untuk majlis yang dijangka berlangsung awal Mac nanti.

"Saya tidak menjangkakan keadaan ini kerana rumah kami tidak pernah banjir. Barang perniagaan seperti bahan mentah sempat diletakkan di tempat tinggi. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, seramai 88 mangsa melibatkan 23 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.

Mohd Azlan Helmi (kanan) meninjau keadaan banjir di Kampung Sahom hingga menjejaskan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan untuk penduduk keluar.
Mohd Azlan Helmi (kanan) meninjau keadaan banjir di Kampung Sahom hingga menjejaskan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan untuk penduduk keluar.

"Lima jambatan kecil mengalami kerosakan dan mesyuarat pasca banjir akan diadakan bagi mengenal pasti kerosakan lain untuk diambil tindakan termasuk pembaikan dalam tempoh segera.

"Dengan kepantasan pasukan penyelamat dan agensi lain yang terlibat, semua penduduk berjaya diselamatkan dan tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Puluhan tahun tidak pernah terjadi selepas tragedi Pos Dipang, kita akan buat siasatan terperinci.

"Pejabat daerah akan buat siasatan dengan mendapatkan gambaran menyeluruh sama ada disebabkan fenomena alam atau elemen lain yang terlibat," katanya.