Warga emas tular sebatang kara, JKM dapatkan perintah perlindungan

JKM akan dapatkan perintah perlindungan sementara bagi menempatkan mangsa di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta. Foto Facebook Salbiah Mohamed
JKM akan dapatkan perintah perlindungan sementara bagi menempatkan mangsa di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta. Foto Facebook Salbiah Mohamed
A
A
A

IPOH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah perlindungan sementara dari mahkamah terhadap seorang lelaki warga emas yang tular hidup sebatang kara di sebuah rumah kedai di sini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, permohonan itu bagi tujuan menempatkan mangsa yang berusia 82 tahun di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta.

Menurutnya, hasil siasatan dijalankan mendapati warga emas terbabit sememangnya memerlukan penjagaan dan tempat tinggal yang sesuai.

"Waris keluarga telah cuba dihubungi tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkhabaran.

"Atas faktor itu, JKM akan mendapatkan perintah perlindungan sementara dari mahkamah esok (Isnin) bagi tujuan penempatan.

"Sepanjang tempoh itu, JKM akan melengkapkan siasatan dan memastikan satu penyelesaian jangka panjang dapat dibuat bagi menjamin kesejahteraan lelaki tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kisah kehidupan warga emas terbabit di media sosial pada Khamis lepas.

Katanya, pada hari sama juga, JKM telah mengadakan lawatan dan siasatan ke lokasi kediaman mangsa di sebuah bilik dalam bangunan rumah kedai di Jalan Datok di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri menghargai segala kerjasama dan laporan yang telah dipanjangkan agar tindakan selanjutnya dapat dibuat," katanya.

Salbiah berkata, sejak tahun lalu, usaha berterusan bagi membasmi kemiskinan tegar telah digerakkan dan hasilnya, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar menunjukkan kadar penurunan ketara.

Ujar beliau, sebagai langkah proaktif, semua agensi pemberi bantuan dan yang berkaitan bergabung tenaga dalam satu Jawatankuasa Khas yang telah dibentuk agar semua rakyat yang layak menerima bantuan dapat disantuni.

"Bantuan dan maklumat berkenaan golongan tercicir seperti yang kita terima ini amat penting bagi memastikan agenda ini direalisasikan dan tiada keluarga mahupun individu terpinggir," katanya.

Warga emas berkenaan dilapor hanya terlantar seorang diri di bilik itu dan hanya bergantung harap kepada seorang rakannya yang datang membantu menguruskan diri termasuk menghantar makanan pada pagi dan malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!