Projek berimpak tinggi dipercepatkan

Mohd Rafizi. - Foto Bernama
Mohd Rafizi. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Projek berimpak tinggi terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan makanan, rantaian nilai makanan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau akan dipercepatkan kerajaan.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam menyediakan perbelanjaan pembangunan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan berharap dapat mengekalkan tahap perbelanjaan yang memberi kesan berganda kepada negara.

"Maklumat terperinci (Bajet 2023) akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan platform data terbuka, Open DOSM Next Gen di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, kerajaan juga turut mencari ruang untuk menambah lagi projek-projek baharu di dalam sektor penting dan utama negara.

"Cuma cabarannya adalah sekiranya kita hanya mempunyai jumlah tertentu, bagaimana hendak pastikan dengan jumlah itu kita boleh menambah lagi projek baharu," ujar beliau.

Ditanya mengenai sama ada Kerajaan Perpaduan mengekalkan atau menyemak semula peruntukan dalam Bajet 2023 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini, Rafizi enggan mengulas lanjut.

Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober tahun lalu menyaksikan RM372.3 bilion diperuntukkan sekali gus menjadikan ia merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November.

Dalam pada itu, Mohd Uzir dalam ucapannya berkata OpenDOSM NextGen yang dilancarkan adalah usaha pemodenan dan inovasi berterusan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke arah penyampaian perkhidmatan statistik yang berkesan.

Menurutnya, OpenDOSM NextGen adalah wajah baru capaian data terbuka berkaitan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan itu dan agensi kerajaan yang lain dengan penambahan ciri dan fungsi baharu sedia ada.

"Selain daripada akses yang mudah dan pantas kepada data terbuka, OpenDOSM NextGen menawarkan antaramuka yang moden yang direka untuk semua lapisan pengguna termasuk pelajar, wartawan dan saintis data," katanya.

Ujar beliau, platform tersebut mengandungi data yang disusun dalam katalog dan dipersembahkan dalam bentuk papan pemuka (dashboard) untuk memudahkan pengguna memahami data yang tersedia.

"Dari segi skop dataset inisiatif ini, sebanyak lapan tema merangkumi tenaga buruh, penunjuk ekonomi, harga pengguna, perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, akaun negara, harga pengeluar dan kesihatan (Covid-19).

"Skop dataset OpenDOSM akan terus dikemaskini dari masa ke masa merangkumi pelbagai data sedia ada di DOSM dan juga pelbagai data terbuka dari semua agensi dan kementerian," katanya.