SPRM tahan pembantu operasi hospital

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki melakukan kesalahan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu ke atas Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan hasil siasatan dijalankan mendapati suspek bersubahat dengan pemilik-pemilik syarikat pembekal bagi mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Tuntutan berkenaan bagi perkhidmatan menyediakan makan dan minum untuk beberapa program kursus dijalankan sepanjang tahun lalu, oleh HSA sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Suspek wanita berusia 36 tahun yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Gred N11 telah ditahan kira-kira jam 2.30 petang tadi, di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 30-an hingga 50-an iaitu pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman telah ditahan pada awal April lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok, untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: