Privasi pengguna diceroboh, hukuman berat perlu buat pelaku

Tangkap layar video tular yang memaparkan kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli belah.
Tangkap layar video tular yang memaparkan kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli belah.
A
A
A

SEKALI lagi negara digemparkan dengan video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah.

Perkara itu dibongkarkan seorang pengguna Twitter dikenali @meleisgw yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah butik di Kuala Lumpur.

Menjadi persoalan bagaimana kamera itu disorokkan di situ dan siapakah dalang di sebalik perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dengan meletakkan kamera sembunyi di sebuah bilik persalinan.

Lebih parah lagi video rakaman tersebut difahamkan dijual kepada orang awam di sebuah aplikasi dan turut dipromosi secara meluas dalam akaun media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya pada Rabu mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan video tular itu.

Katanya, siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian tersebut.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pelaku kerana ia bukan sahaja mengaibkan kehormatan individu terlibat malah ia bakal memberi kesan trauma kepada mereka pada jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu kejadian seperti itu menimbulkan rasa kurang selesa dan kegusaran kepada orang ramai terutama wanita yang kini perlu berhati-hati dan berwaspada untuk menukar pakaian di bilik persalinan.

Justeru itu, kerajaan perlu mengenakan hukuman berat terhadap pesalah yang mengaibkan kehormatan seseorang dengan meletakkan kamera tersembunyi di mana-mana tempat sekali pun supaya kejadian sedemikian tidak lagi berlaku di negara ini.

Pihak berkuasa sewajarnya menyiasat isu tersebut agar pelaku yang sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kadar segera.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan berkongsi maklumat serta melaporkan sebarang kejadian berhubung isu tersebut kepada pihak berkuasa bagi membolehkan pelaku tersebut ditangkap secepat mungkin.