PKNS, Bank Muamalat tawar pembiayaan kediaman, komersial

Mahmud (kanan) dan Khairul pada majlis menandatangani MoU antara PKNS dan Bank Muamalat di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada Rabu.
Mahmud (kanan) dan Khairul pada majlis menandatangani MoU antara PKNS dan Bank Muamalat di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan kemudahan pembiayaan perumahan kepada individu dan entiti perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, MoU itu sebagai usaha membuka peluang dan membantu lebih ramai golongan masyarakat dalam pemilikan hartanah khususnya kediaman dan komersial.

Mahmud menjelaskan, kemudahan pembiayaan dapat membantu para pelanggan PKNS sama ada individu atau entiti perniagaan memiliki hartanah menerusi penawaran pakej bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan mereka.

"Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama.

"Berbekalkan pengalaman lebih lima dekad, kami komited untuk menyediakan pelbagai produk hartanah dapat memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai dan saya percaya jalinan kerjasama ini akan membantu memberikan lebih pilihan sekali gus membantu merealisasi objektif ini," katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani MoU ditandatangani Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada Rabu.

Menerusi kolaborasi ini Bank Muamalat menyediakan pembiayaan akhir kepada pelanggan PKNS yang berpotensi bagi produk-produk hartanah yang dibangunkan melibatkan projek perumahan pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik di seluruh negara.

Bagi golongan individu, Bank Muamalat menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad manakala bagi segmen perniagaan akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti untuk industri kecil dan sederhana (SME) yang melibatkan vendor dan rakan niaga.

Artikel Berkaitan:

Mahmud menambah, pembiayaan ini ditawarkan untuk pelbagai produk hartanah PKNS yang sedang dan telah siap dibina merentasi seluruh kawasan di negeri Selangor.

"Antaranya adalah Puteri Soraya dan Puteri Aira di Kota Puteri; Azhara, Lavender dan Cassia di Antara Gapi; Rafflesia di Bernam Jaya; Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf di Alam Nusantara dan banyak lagi.

"Selain itu, antara projek yang sedang menerima tempahan yang amat menggalakkan adalah Residensi Advena, Seksyen 16 di Shah Alam dan setakat ini lebih 70 peratus tempahan telah diterima daripada jumlah keseluruhan 232 unit," katanya.

Katanya lagi, kediaman pangsapuri berkonsepkan moden kontemporari itu mempunyai keluasan 87.4 meter persegi dan merupakan kediaman mampu milik dan mempunyai lokasi strategik berhampiran dengan laluan transit utama di pusat bandar Shah Alam.

"Dilengkapi dengan reka bentuk moden, Residensi Advena juga berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam seperti sekolah, pusat pengajian tinggi, hospital, klinik, pusat beli-belah dan sebagainya.

"Dengan harga yang berpatutan, projek ini dijangka mencatatkan permintaan yang tinggi dan pasti memuaskan para pelanggan," katanya.

Sementara itu, Khairul pula berkata, kerjasama Bank Muamalat dan PKNS merangkumi pelbagai aspek perniagaan untuk jangka masa panjang memandangkan PKNS merupakan syarikat pemaju hartanah yang mempunyai reputasi tinggi di Malaysia khususnya di Selangor.

"Bank Muamalat dalam usaha membina #KehidupanLebihBaikBersama pelanggan menjelang 2023 maka, pihak bank amat memahami masalah yang dihadapi pelanggan, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa agak mencabar terutamanya bagi pembeli rumah pertama.

"Dengan itu, pihak bank sedia memberikan penyelesaian dan menyediakan kemudahan kewangan kepada individu dan entiti perniagaan," katanya.

Kerjasama strategik ini juga turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama menganjurkan pelbagai aktiviti pemasaran bagi memasarkan produk-produk hartanah PKNS serta memperkenalkan pembiayaan ditawarkan Bank Muamalat.