Pening kepala jika kadar OPR dinaikkan lagi

Sudah empat kali OPR naik tahun ini dan jika ia terus naik, jujurnya ramai tidak mampu lagi. - Foto 123RF
Sudah empat kali OPR naik tahun ini dan jika ia terus naik, jujurnya ramai tidak mampu lagi. - Foto 123RF
A
A
A

PADA mulanya penulis tidak bersetuju dengan kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus mengenai keputusan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) disebabkan keadaan ekonomi negara yang semakin bertambah baik.

Beliau turut mengaitkan pengukuhan ekonomi rakyat dengan memberikan analogi jumlah kereta yang semakin banyak di jalan raya.

“Aktiviti pembelian dan penggunaan semakin rancak.

Di dalam negara pula, lebuh raya menjadi sesak hampir setiap hujung minggu.

“Statistik jualan kereta juga semakin meningkat,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Oktober tahun lalu.

Memang pada peringkat permulaan, penulis berasakan tidak wajar Nor Shamsiah memberikan analogi jumlah kereta di jalanan dengan keputusan untuk menaikkan OPR.

Tambah-tambah lagi, rakyat baru sahaja berdepan tekanan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, penulis akhirnya bersetuju dengan Gabenor Bank Negara bahawa ekonomi rakyat semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Pemikiran penulis berubah apabila pulang ke kampung baru-baru ini apabila mendapati lebuh raya menjadi sesak dengan jumlah kenderaan yang begitu banyak.

Kebiasaannya jika mahu pulang ke kampung mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Kuala Kangsar di Perak tetapi kali ini mengambil masa sehingga lima jam. Itu hari biasa, bukan musim perayaan. Rasa nak tercabut lutut dibuatnya.

Lebih mencuri tumpuan ialah kebanyakan kenderaan dengan nombor pendaftaran baharu. Baru keluar dari kedai.

Maknanya, rakyat Malaysia sebenarnya sudah mampu membeli kereta baharu.

Ia dikukuhkan lagi dengan data dikeluarkan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) yang mengakhiri tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan keseluruhan tertinggi sejak 2013.

Proton telah mencatat jualan 141,432 unit di pasaran domestik dan eksport selepas merekodkan angka 14,750 unit pada Disember.

Bagi syarikat perusahaan otomobil nasional kedua pula, Perodua berjaya melepasi paras jualan 200,000 pada Oktober 2022 apabila syarikat kereta kompak itu mencatatkan pendaftaran sebanyak 222,203 kenderaan antara Januari dan Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Firdaos Rosli dilaporkan berkata, rakyat Malaysia kini menikmati taraf hidup lebih tinggi daripada sebelumnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia secara beransur-ansur beralih kepada membeli kenderaan asing berbanding kereta nasional, di samping kurang berbelanja ke atas barangan keperluan dapur, sebaliknya lebih gemar makan di luar sebagaimana dinyatakan dalam Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2016.

Firdaos juga dilaporkan berkata, berdasarkan data diterbitkan Persatuan Automotif Malaysia, jualan jenama pertengahan kereta asing seperti Honda, Ford, Mazda dan Subaru telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan yang lebih tinggi sejak 2009 berbanding juara automotif tempatan, Perodua.

“Baru-baru ini barangan yang dibeli melalui platform perdagangan dalam talian popular telah mencatat jualan lebih RM100 juta ketika Singles Day pada 11 November.

“Malaysia ialah pasaran permainan dalam talian terbesar di Asia Tenggara, yang mana kira-kira RM2.45 bilion dibelanjakan dalam tempoh 10 bulan lalu,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada penyusutan ringgit benar-benar menjadi satu isu, bagaimana rakyat Malaysia mahu menjelaskan dalam sembilan bulan pertama 2017, Malaysia mengimport kira-kira dua kali ganda nilai telefon mudah alih (RM6.85 bilion) berbanding kereta berenjin 1.5 hingga tiga liter (RM3.47 bilion).

Namun begitu, tidak semestinya penulis bersetuju secara sewenang-wenangnya jika OPR dinaikkan kerana ia turut melibatkan peningkatan kos perbelanjaan bulanan.

Sudah empat kali OPR naik tahun ini dan jika ia terus naik, jujurnya ramai tidak mampu lagi.

Ini kerana pembiayaan semula rumah bukanlah satu-satunya komitmen perlu ditanggung.

Kami perlu bayar ansuran bulanan kereta, bil WiFi, yuran bulanan persekolahan anak yang dinaikkan tahun depan, yuran pengasuh, membeli barangan asas dan sebagainya yang serba-serbi mahal.

Buat masa ini penulis masih belum mampu untuk membeli kereta baharu kerana untuk membayar Perodua Ativa yang ada ini pun sudah pening kepala!

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian.