Gagal mulakan prosiding hina mahkamah terhadap menteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan hari ini gagal memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan sebulat suara menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding itu.

Hisham, 40, anak ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Halim Mohammad, ingin merujuk Mohd Na’im bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung kandungan mesej aplikasi WhatsApp yang didakwa menjejaskan pentadbiran keadilan.

Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak permohonan itu tanpa kos.

"Dalam konteks mesej WhatsApp yang dihantar oleh Mohd Na’im pada 2020 kepada beberapa Hakim Mahkamah Syariah negeri, Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan konotasi yang diberikan, dan tidak menganggap bahawa ia terjumlah dalam kategori yang sama dengan perbuatan menghina mahkamah seperti dalam kes membabitkan Malaysiakini dan Leap Modulation Sdn Bhd,” katanya.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mewakili Hisham, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Mohd Na’im yang ketika itu Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Pada 25 Ogos 2020, Hisham melalui peguam sivilnya berjaya memperoleh kebenaran untuk menangguhkan semua prosiding Mahkamah Syariah yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam kes penceraian dan hak penjagaannya.

Hisham mendakwa susulan itu, pada 16 Disember 2020, Mohd Na’im telah menghantar WhatsApp kepada beberapa hakim Mahkamah Syariah negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, penerbitan mesej itu telah menskandalkan badan kehakiman Malaysia secara keseluruhan apabila menyifatkan perintah mahkamah lain sebagai percubaan untuk 'membunuh' Mahkamah Syariah dan mencadangkan bahawa sebarang keputusan serupa akan mengganggu Mahkamah Syariah sekali gus menyebabkan skandal serta menyerang seluruh badan kehakiman.