Pengurusan kes Ahmad Zahid ditetapkan 17 Februari

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) ditetapkan untuk satu lagi pengurusan kes pada 17 Februari ini.

Tarikh pengurusan kes baharu itu disahkan oleh sumber ketika dihubungi.

Pengurusan kes bagi rayuan itu didengar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 September tahun lepas di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri.

Pada 23 September 2022, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Ahmad Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Artikel Berkaitan:

Dalam petisyen rayuan difailkan 29 Disember lepas, pendakwa raya selaku perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mohd Yazid terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut. - Bernama