Perhilitan tubuh dua pasukan tangkap gajah

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

LIPIS - Susulan kematian remaja lelaki Orang Asli akibat dipijak gajah liar di Kampung Tual, Pos Sinderut di sini pada Isnin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang memulakan operasi menangkap haiwan liar itu pada Selasa.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, dua pasukan dibentuk bagi menjalankan operasi tersebut.

"Dua pasukan itu terdiri daripada 11 orang untuk tangkapan dan lima lagi bagi tujuan bantuan dan keselamatan.

"Gajah tersebut telah dikenal pasti dan dipercayai dari Hutan Simpan Ulu Jelai di sini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Andy Yok Manin, 15, maut dipijak gajah liar ketika berada di kebun durian bersama keluarganya.

Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, berdasarkan maklumat, serangan gajah tersebut dipercayai bermula dari Kampung Regang sebelum haiwan itu lari menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual setelah dihalau orang kampung.

"Haiwan itu dikatakan masuk ke kawasan kebun durian tempat mangsa berada sebelum berlaku serangan," kata Azli.

Sebelum ini, seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis di sini pada 6 Disember lalu

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.