Remaja Orang Asli maut dipijak gajah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja Orang Asli maut akibat dipijak gajah liar ketika berada di kebun durian bersama keluarganya di Kampung Tual Pos Sinderut di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Andy Yok Manin, 15, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian daripada batin kampung itu kira-kira jam 4.30 petang.

"Berdasarkan maklumat, serangan gajah itu dipercayai bermula dari Kampung Regang sebelum haiwan itu lari menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual setelah dihalau orang kampung.

"Haiwan itu dikatakan masuk ke kawasan kebun durian tempat mangsa berada sebelum berlaku serangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:


Azli berkata, selepas kejadian, keluarga membawa mayat mangsa dibawa pulang ke rumah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan menerima perkhabaran sedih itu.

Beliau memaklumkan sudah mengarahkan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar Pahang untuk menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan saya berharap mereka tabah menerima ujian ini," tulisnya pada Isnin.