Gajah liar musnahkan tanaman penduduk ditangkap

Seekor gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Seri Bayas, Setiu berjaya ditangkap Perhilitan Terengganu pada Isnin. - Foto: Perhilitan Terengganu
Seekor gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Seri Bayas, Setiu berjaya ditangkap Perhilitan Terengganu pada Isnin. - Foto: Perhilitan Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor gajah jantan liar yang memusnahkan tanaman milik enam pekebun kelapa sawit di Kampung Seri Bayas, Setiu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada Isnin.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah seberat 1.5 tan itu ditangkap kira-kira jam 11 pagi dalam operasi yang disertai tujuh kakitangan jabatan berkenaan.

"Operasi ini diadakan selepas kita menerima laporan daripada pekebun terlibat mengenai serangan yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Pemantauan akan diteruskan di sekitar kawasan terbabit kerana pekebun mendakwa terdapat lebih daripada seekor gajah yang menceroboh masuk ke kebun mereka," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, haiwan dianggarkan berusia 15 tahun itu dijangka akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu pada Khamis.

Sebelum ini, enam pemilik kebun sawit mendakwa terpaksa menanggung kerugian lebih RM70,000 selepas hasil pertama kebun sawit yang sepatutnya boleh dituai pada November depan 70 peratus musnah diserang sekumpulan gajah liar.

Ahmad Shazril Hisyam Mohamad, 32, berkata, mereka berasa lega setelah pihak Perhilitan berjaya menangkap salah seekor daripada kumpulan gajah liar itu.

"Kami harap selepas ini tanaman kelapa sawit dapat diteruskan dan tidak lagi berdepan ancaman serangan gajah liar," katanya.