PRN: Pembahagian kerusi PN siap 80 peratus

Abdul Hadi (tiga dari kiri) bersalaman dengan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai selepas sidang media pada Isnin.
Abdul Hadi (tiga dari kiri) bersalaman dengan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai selepas sidang media pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Perikatan Nasional (PN) telah siap 80 peratus dalam pembahagian kerusi di enam buah negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

Menurutnya, perbincangan tersebut berjalan secara berpanjangan dan menjadi asas perbincangan untuk PN berhadapan dengan PRN nanti.

"Sebenarnya sebelum PRU15 iaitu ketika persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum lagi kita sudah mengadakan perbincangan secara langsung mengenai pembahagian kerusi bagi Dun.

"Itu menjadi asas perbincangan untuk menghadapi PRN dan ia (perbincangan) berjalan berpanjangan. Sama ada keputusan itu kekal atau tidak, itu perlu dilihat kepada strategi untuk menghadapi pilihan raya yang berikutnya," katanya selepas menghadiri sesi dialog antara parti komponen PN di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri terbabit tidak membubarkan dewan perundangan masing-masing serentak dengan PRU15 lalu atas beberapa sebab antaranya kerana musim banjir hujung tahun.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, gelombang PRU15 memberi dukungan yang kuat apabila PN menyapu bersih kerusi di negeri yang diperintahnya iaitu Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Gelombang PRU15 memberi dukungan yang kuat kepada negeri-negeri apabila kita menang besar di Kelantan dan Terengganu, di Kedah, hanya satu kerusi kita terlepas. Ini menandakan kita ada kekuatan. Post mortem yang kita buat, kita dapati undi di DUN, kita menang keseluruhannya.

"Kita yakin, gelombang ini berpanjangan khususnya apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah hari ini yang tidak menentu. Nak kata perpaduan pun bukan perpaduan.

"Kalau perpaduan, mestilah kerajaan tidak ada pembangkang atau saiz pembangkang kecil dan tiada peranan, baru Kerajaan Perpaduan. Jika separuh pembangkang, separuh itu (kerajaan), itu bukan perpaduan. Istilah pun tidak betul, masih banyak masalah yang tidak selesai, kenyataan-kenyataan yang tidak dilaksanakan," katanya.

Dalam PRU15 yang lalu, PN menang besar di beberapa buah negeri antaranya Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.