Bukan soal isteri izin atau tidak...

Antara keratan akhbar Sinar Harian mengenai risiko berkahwin di sempadan.
Antara keratan akhbar Sinar Harian mengenai risiko berkahwin di sempadan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah syariah negeri ini akan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat sebelum kebenaran berpoligami diberikan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah tersebut bagi memastikan alasan berpoligami itu relevan.

“Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana lelaki untuk berpoligami.

“Namun mereka (para suami) dinasihatkan untuk berbuat demikian menggunakan saluran disediakan iaitu dengan membuat permohonan di mahkamah syariah.

“Poligami bukan soal izin isteri tetapi lebih tepat adalah kebenaran perintah mahkamah.

“Selepas (mahkamah syariah) meneliti semua keperluan, permohonan secara baik kepada mahkamah menunjukkan suami adil dan menghormati isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Ahad.

Mohd Fared memberitahu, dalam setiap permohonan berpoligami melalui proses mahkamah, si isteri akan dimaklumkan, malah dipanggil untuk memberi pendapat berhubung permohonan suaminya serta penilaian akan dibuat kemudian.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, tiada halangan untuk mana-mana lelaki berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Ia adalah untuk memastikan hak dan kesejahteraan semua pihak terbela,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata, pihaknya sudah meluluskan 93 permohonan berpoligami di Johor sepanjang tahun lalu.

“Sepanjang tahun 2022, kita telah terima 93 permohonan daripada suami untuk berpoligami dan selepas pemeriksaan kriteria dibuat, kesemua permohonan tersebut diluluskan.

“Mahkamah setakat ini tidak berada dalam posisi menolak selagi mana pemohon layak untuk berpoligami.

“Langkah berkenaan dibuat bagi mengelak sebarang permasalahan daripada berbangkit pada kemudian hari,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, seramai 197 peguam syarie diberi pentauliahan dalam majlis tersebut yang membenarkan mereka memberikan perkhidmatan guaman kepada rakyat di Johor.

Kahwin di sempadan kerana tidak dapat restu

Sementara itu, seorang peniaga mengakui pernikahannya dengan pasangan di sempadan adalah jalan terakhir memandangkan tidak mendapat restu anak-anaknya dan keluarga mertua.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Arman, 47, mengakui bernikah di sempadan kerana mahu merahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Saya hanya mahu menghalalkan hubungan dengan pasangan dan berkahwin semula selepas bercerai.

“Itu sahaja jalan yang ada kerana anak-anak tidak mengizinkan saya berkahwin lain.

“Bagi mengelakkan saya melakukan maksiat dengan pasangan yang kini sudah menjadi isteri, lebih baik saya menghalalkan hubungan ini dengan bernikah di Thailand,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Arman lagi, dia tidak mendapat keizinan daripada keluarga mertuanya walaupun sudah berusaha untuk mengikut saluran yang betul sebelum ini dan akhirnya terpaksa bernikah di luar negara juga.

“Keluarga isteri tidak boleh menerima kenyataan bahawa saya ingin berkahwin dengan anaknya kerana saya duda dan hanya peniaga makanan di tepi jalan sedangkan saya mampu menjaganya,” katanya.

Arman berkata, dia kemudiannya mendapatkan khidmat pemudah cara pernikahan di sempadan menerusi ejen perkahwinan sebelum dapat bernikah dengan isterinya itu di Narathiwat, Thailand lebih setahun lalu.

Di samping itu, menurutnya, prosedur pernikahan di sempadan tidak terlalu rumit dan tidak perlu perbelanjaan besar kerana hanya memerlukan sekitar RM4,000 sahaja, namun masih memerlukan dokumen asli daripada pasangan.

“Sehingga kini perkahwinan kami masih dirahsiakan daripada keluarga,” kata Arman yang hanya pulang ke rumah isterinya itu secara rahsia dalam tempoh tertentu tanpa pengetahuan sesiapa.