Peruncit kenakan caj pengendalian diberi notis

Anggota penguatkuasa KPDN Cawangan Kubang Pasu menunjukkan nota caj tambahan dikenakan peruncit di sebuah premis di Kubang Pasu pada Isnin. - Foto KPDN Kedah
Anggota penguatkuasa KPDN Cawangan Kubang Pasu menunjukkan nota caj tambahan dikenakan peruncit di sebuah premis di Kubang Pasu pada Isnin. - Foto KPDN Kedah
A
A
A

JITRA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengeluarkan dua notis kepada peruncit berhubung caj tambahan dikenakan ke atas penjualan telur ayam di sekitar daerah Kubang Pasu, pada Isnin.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Cawangan Kubang Pasu telah menjalankan siasatan berkaitan aduan pengguna yang tular di media sosial berhubung caj tambahan itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati peruncit mendapat bekalan telur ayam daripada luar daerah Kubang Pasu iaitu di Pulau Pinang dan Alor Setar.

"Hasil siasatan lanjut ke atas invois belian mendapati pihak pembekal telah mengenakan caj tambahan iaitu kos pengangkutan dan kos pengendalian antara RM0.90 hingga RM3.00 bagi setiap papan telur menyebabkan pihak peruncit terpaksa menanggung kos tersebut.

"Susulan itu, peruncit terpaksa menanggung kos yang tinggi menyebabkan terpaksa mengenakan kos tersebut kepada pembeli," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, KPDN Kedah mengeluarkan dua notis terbabit di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Beliau menjelaskan, penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam masih berkuatkuasa pelaksanaannya bermula 12 Oktober lalu dan akan diteruskan hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan kawalan di bawah akta ini membolehkan kawalan harga dilakukan ke atas barangan harga terkawal bagi semua peringkat iaitu pengeluaran, pemborongan dan peruncitan ke atas telur gred A, B dan C.

"Justeru, kerjasama pengguna diperlukan untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,: ujar beliau.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088 / 6245, aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000 atau secara atas talian http://eaduan.kpdn.gov.my.