Banjir: Berjuta kanak-kanak Pakistan diancam penyakit, kematian

Sebahagian penduduk yang masih tiada tempat tinggal menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan bantuan yang diagihkan badan amal.
Sebahagian penduduk yang masih tiada tempat tinggal menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan bantuan yang diagihkan badan amal.
A
A
A

ISLAMABAD - Berjuta-juta kanak-kanak di Pakistan berdepan risiko penyakit berjangkit dan kematian akibat banjir melanda negara itu, menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin.

Sekurang-kurangnya 1,739 orang terbunuh termasuk 647 kanak-kanak akibat musim tengkujuh yang melanda Pakistan pada pertengahan Jun hingga Oktober, menurut statistik kerajaan.

Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin mendedahkan lebih 4 juta kanak-kanak masih tinggal berhampiran air tercemar dan bertakung manakala 10 juta orang memerlukan bantuan segera demi menyelamatkan nyawa menjelang musim sejuk, lapor UPI.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyatakan bahawa negara itu memerlukan sokongan kewangan besar-besaran daripada masyarakat antarabangsa selepas berkunjung ke Pakistan pada September.

Antara Julai dan Disember, PBB mengenal pasti bilangan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan meningkat dua kali ganda di kawasan dilanda banjir berbanding setahun sebelumnya.

Jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak di kawasan terbabit juga turut bertambah.

Kekurangan zat makanan yang teruk, penyakit pernafasan dan bawaan air ditambah dengan selesema menyebabkan berjuta-juta nyawa diancam bahaya, kata Abdullah Fadil, wakil UNICEF di Pakistan menerusi satu kenyataan.

UNICEF memaklumkan pihaknya hanya menerima 37 peratus daripada AS$173.5 juta untuk bantuan menyelamatkan nyawa wanita dan kanak-kanak di Pakistan.

Artikel Berkaitan:

Kita mesti melakukan segala-galanya untuk memastikan kanak-kanak perempuan dan lelaki di Pakistan dapat pulih sepenuhnya daripada bencana alam dan melindungi mereka daripada bencana seterusnya, kata Fadil. - Bernama.