Petisyen UNWGAD Najib tidak jejas Badan Kehakiman

Tengku Maimun (tengah) pada Majlis Perasmian Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Tengku Maimun (tengah) pada Majlis Perasmian Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan bahawa, tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula, sebagai suatu yang tidak akan menjejaskan Badan Kehakiman.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu bebas untuk mengambil apa-apa langkah selain mempunyai hak untuk meneliti pilihan alternatif berhubung sabitan kes yang dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata, hakim-hakim sudah laksanakan tugas yang diamanahkan melalui keputusan yang dibuat terhadap kes tersebut dan tanggungjawab itu tamat selepas keputusan diputuskan.

"Najib boleh buat apa saja selepas kita (mahkamah) buat keputusan, itu haknya, malah apa sahaja tindakan melibatkan organisasi lain adalah di luar peranan kami.

"Saya tidak berada dalam posisi yang membolehkan untuk memberi ulasan, saya tidak mahu komen lanjut mengenai isu ini kecuali pemfailan petisyen berkenaan tidak memberi kesan kepada badan kehakiman selepas keputusan mahkamah diketahui, tindakan berkenaan terserah kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Pada 5 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, Najib memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kes bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu, memohon lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.