'Indonesia terima ketika saya terdampar, terbuang, tersisih'

Anwar bercakap kepada media selepas majlis penyerahan LoI dan menandatangi MoU itu sempena lawatan rasmi ke Indonesia pada Ahad. - Foto Ihsan PMO
Anwar bercakap kepada media selepas majlis penyerahan LoI dan menandatangi MoU itu sempena lawatan rasmi ke Indonesia pada Ahad. - Foto Ihsan PMO
A
A
A

JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebab beliau memilih Indonesia sebagai negara pertama lawatan rasminya ke luar negara selepas dilantik menerajui negara pada 24 November lalu.

Katanya, selain negara jiran yang serumpun dengan persahabatan baik, republik itu adalah sahabat sejati yang menerima beliau ketika dalam keadaan terlempar, terbuang dan tersisih.

Ujar Anwar, Indonesia juga bersikap mesra terhadap Malaysia dan menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penglibatannya sebagai ahli politik sehingga dilantik Perdana Menteri.

“Jadi saya tidak melupakan, sebab itu kita memberikan keutamaan untuk merentas dalam hubungan dua hala bilateral dengan Indonesia,” katanya ketika ditemui media sempena lawatan rasmi itu pada Ahad.

Beliau hadir menyaksikan Majlis Penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh 10 syarikat Malaysia bernilai lebih RM1 bilion kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi pada satu majlis di sebuah hotel di Jakarta.

Turut sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono.

Anwar (tiga dari kanan) memilih Indonesia sebagai lawatan rasmi pertamanya.
Anwar (tiga dari kanan) memilih Indonesia sebagai lawatan rasmi pertamanya.

Pada majlis sama, sembilan memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta Malaysia dan Indonesia dimeterai dengan pelaburan berpotensi berjumlah lebih RM1.66 bilion melibatkan pelbagai bidang ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anwar, pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor akan berlangsung pada Isnin.

“Esok (Isnin) akan ke istana, insya-ALLAH ada 12 perkara (usul dibincangkan),” ujarnya.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula Ahad bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Soekarno-Hatta pada jam 1.57 petang (waktu tempatan).