Malaysia terus jadi perhatian pelabur China - Duta

Yujing
Yujing
A
A
A

MALAYSIA kekal menjadi destinasi pilihan usahawan dari China untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini yang menyaksikan lebih ramai pelabur negara itu mengintai peluang melabur di sini.

Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, dalam keadaan kelemahan ekonomi global yang kian meningkat dan ketegangan geopolitik yang memuncak, perdagangan dan pelaburan China-Malaysia bertentangan dengan itu dan mencapai pertumbuhan baharu.

Beliau berkata, statistik rasmi China menunjukkan dari Januari hingga November 2022, perdagangan dua hala China-Malaysia meningkat 18.5 peratus pada asas tahun ke tahun mencecah AS$184.75 bilion.

China dijangka menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-14 berturut-turut.

Menurut statistik rasmi Malaysia, pelaburan China menduduki tempat teratas pada separuh pertama 2022, mencecah AS$11 bilion, menyumbang 55.6 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang menjadikan ekonomi kedua terbesar dunia itu rakan kongsi pembangunan terpenting Malaysia.

"Hubungan China-Malaysia berada di barisan depan dalam hubungan China-ASEAN.

"China akan terus menggalakkan lebih banyak perusahaan China menambah pelaburan di Malaysia bagi meningkatkan lagi pembangunan ekonomi dan industri Malaysia,” katanya pada program "Bicara Duta” anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kedutaan China di sini, pada Ahad.

Yujing berkata, beliau optimis bahawa trend itu akan terus berkembang berdasarkan penglibatannya yang kerap dengan usahawan China di sini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memberitahu saya sebab mereka memilih Malaysia kerana persekitaran politik negara yang stabil, lokasi geopolitik yang strategik, infrastruktur moden serta sistem perundangan yang baik.

"Hubungan baik rakyat dengan rakyat juga menjadi satu daripada faktor yang menarik pelabur China ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, China dan Malaysia boleh memperdalam lagi kerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik, separa konduktor dan cip serta industri minyak dan gas.

"China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk menggunakan peluang pembangunan ini dengan baik. Kami akan mengukuhkan kerjasama ekonomi, mempercepat inovasi sains dan teknologi dan memperdalam kerjasama dalam semua aspek termasuk kesalinghubungan, ekonomi digital, ekonomi hijau, pertanian moden, bioperubatan dan lain-lain.

"Kami akan bekerjasama untuk membawa manfaat lebih banyak kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan serta kemakmuran serantau,” katanya.

Memandangkan tahun ini ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia dan pada tahun 2024 China-Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik, beliau mencadangkan agar kedua-dua negara merangka pelan tindakan pembangunan masa depan China dan Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua negara harus mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan, parti politik dan pertubuhan sosial di semua peringkat, terus saling mempercayai dan memperdalam serta mengembangkan kerjasama pragmatik dalam semua bidang.

"Kita harus terus menambah dan memperkaya konotasi perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia dan mendorong hubungan China-Malaysia ke tahap baharu.

"...China dan Malaysia harus merebut peluang, menggunakan sebaik mungkin momentum pembangunan ke arah membina komuniti China-Malaysia yang bersama berkongsi masa depan,” kata Ouyang. - Bernama