Pindaan akta fokus perkasa, penguatkuasaan hak OKU

Kemudahan parkir khas untuk OKU sering disalah guna oleh orang awam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nancy)
Kemudahan parkir khas untuk OKU sering disalah guna oleh orang awam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nancy)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dijangka dimuktamadkan menjelang Jun ini dengan memberi fokus kepada aspek pemerkasaan dan penguatkuasaan bagi menjaga hak golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan perlu dilakukan kerana ramai yang menganggap akta sedia ada tidak mencukupi selain penguatkuasaan yang lemah.

Beliau memberikan contoh kemudahan parkir khas untuk OKU terutamanya di kompleks beli-belah sering disalah guna oleh orang awam kerana tiada pihak yang memastikan penguatkuasaan undang-undang di bawah akta berkenaan.

"Pihak kementerian sedang bincang agar ada (aspek) penguatkuasaan dalam pindaan itu, kita perlukan akta yang lebih kuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 27th Annual Charity Walk-Jog-Wheel-A-Thon di Dataran Merdeka di sini, pada Ahad.

Turut hadir Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, dalam ucapannya Nancy berkata, kementerian berharap dapat meningkatkan pendaftaran OKU di negara ini untuk perancangan program dan inisiatif yang lebih berkesan.

Nancy berkata sehingga Disember 2022, terdapat sebanyak 633,653 OKU berdaftar dalam pangkalan data.

Beliau turut menyeru semua peserta dalam acara larian itu agar membantu kementerian dalam meningkatkan kesedaran dan menggesa setiap OKU agar mendaftarkan diri mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan seramai 1,580 individu termasuk 200 OKU menyertai acara hari ini yang memasuki edisi ke-27 selepas berehat dua tahun akibat pandemik Covid-19. - Bernama