Warta pelitup muka barang kawalan bergantung keadaan semasa

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan meletakkan pelitup muka sebagai barangan kawalan akan dibuat berdasarkan keperluan dan situasi semasa penularan Covid-19 di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan sama ada pelitup muka akan dimasukkan semula di dalam senarai barangan kawalan.

"Dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu, kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditugaskan mengawal sepenuhnya pintu sempadan negara.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang kecuaian. Namun begitu tidak ada sebarang keputusan rasmi tentang sama ada pelitup akan dimasukkan semula dalam senarai barang kawalan

"Itu bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa yang mungkin pada ketika itu kerajaan akan putuskan pelitup dimasukkan dalam senarai barangan kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran Amanah Parlimen Pulai di sini, pada malam Sabtu.

Keputusan negara China membuka semula pintu sempadannya bermula Ahad, ternyata menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia dilakukan ketika negara berkenaan berhadapan dengan peningkatan drastik penularan kes Covid-19.

Ramai pihak turut melahirkan kerisauan terhadap perkembangan tersebut, sekali gus membuatkan mereka lebih berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 termasuk menggunakan pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM mengambil serius kebimbangan masyarakat berkenaan peningkatan kes Covid-19 di China dan ketibaan pelancong dari republik itu.

Jelasnya, KKM akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan wabak itu dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes Covd-19.