Kes baharu ASF di sebuah lagi ladang ternakan babi di Valdor

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengesan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini. - Gambar Fail
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengesan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini. - Gambar Fail
A
A
A
GEORGE TOWN - Sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini ditutup bermula pada Sabtu ekoran kes baharu penyakit demam babi Afrika (ASF) dikesan di ladang berkenaan.

Penutupan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang itu, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kes baharu ASF itu dan tindakan segera diambil untuk menutup ladang berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pelupusan lebih 1,000 ternakan di situ.

"Memandangkan di kawasan Valdor ada 42 ladang ternakan babi, jadi kita putuskan bencana ini dinaikkan taraf daripada daerah kepada negeri kerana pejabat daerah( SPS) mempunyai sumber yang terhad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival LovePENANG, di Padang Kota Lama pada Sabtu.

Karnival julung kali diadakan itu yang dihadiri ribuan pengunjung adalah gabungan antara festival makanan tempatan, warisan, budaya dan hiburan untuk seisi keluarga.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar mengadakan mesyuarat pengurusan bencana peringkat negeri esok bagi membincangkan isu ASF itu.

Menurutnya, semua jabatan yang terlibat diharap dapat digembleng bagi mengambil tindakan segera mengawal wabak tersebut daripada merebak ke ladang ternakan babi lain sama ada di SPS atau daerah lain di Pulau Pinang.

"Kami juga berjumpa dengan wakil persatuan penternak untuk meminta mereka memberi kerjasama dan arahan selanjutnya akan dikeluarkan pihak pengurusan bencana negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Veterinar Negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, JPV mengambil langkah segera dengan mengarahkan operasi ladang ternakan berkenaan ditutup serta merta selepas mendapat keputusan positif ASF pagi Sabtu.
Artikel Berkaitan:


"Setakat ini terdapat dua (kes) positif ASF ditemukan, jadi tindakan daripada JPV adalah sama iaitu akan tutup ladang, tindakan pelupusan (binatang ternakan) dan kesan pergerakan (lori mengangkut ternakan supaya tidak rentas daerah atau negeri),” katanya ketika dihubungi.

Katanya, berdasarkan data bancian JPV negeri terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Pada Jumaat, media melaporkan jangkitan ASF dikesan di sebuah ladang babi di Kampung Valdor, Sungai Bakap, di SPS dan ladang tersebut ditutup bagi kerja-kerja menghapuskan ternakan. -Bernama