Hajiji ada 'locus standi', kekal jadi Ketua Menteri - GRS

Masidi dan Hajiji.
Masidi dan Hajiji.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan UMNO Sabah berhubung kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor yang dikatakan tidak mempunyai 'locus standi' atau hak di sisi undang-undang untuk terus menjadi Ketua Menteri selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelayakan Hajiji untuk menyandang jawatan itu tidak terjejas memandangkan beliau bersama semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang merupakan ahli GRS.

"Terdapat lebih daripada cukup majoriti ADUN dan mereka merupakan parti politik terbesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"Oleh itu, tiada merit kepada dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai 'locus standi' untuk menjadi Ketua Menteri Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada awal pagi Sabtu.

Masidi berkata, kenyataan itu adalah sebagai jawapan kepada kenyataan media Bung Moktar yang dilihat cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan terhadap kesahihan kedudukan Hajiji selaku Ketua Menteri.

Katanya, Bung Moktar hanya merujuk Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah mengenai kepercayaan majoriti seorang ketua parti politik yang juga seorang ADUN.

"Perkara 6(7) itu merujuk kepada keadaan apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti," katanya.

Namun sebaliknya, Masidi berkata, jika tiada parti menguasai majoriti atau lebih 50 peratus kerusi dalam DUN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah akan memilih seorang ahli Dewan yang difikirkannya mendapat kepercayaan majoriti mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu, Masidi turut memberikan contoh takrifan 'majoriti' menerusi kes Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar dan Anor [2019] 10 MLJ 329 di Mahkamah Tinggi dengan merujuk muka surat 345 dalam perenggan [28] dan [29] yang mana Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie menyatakan bahawa 'majoriti' tidak bermaksud 'kerusi terbanyak' tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.

"Datuk Yew Jen Kie seterusnya berkata, Perkara 6(7) tidak akan terpakai melainkan sebuah parti politik berjaya memenangi lebih 50 peratus kerusi DUN dalam pilihan raya umum dan ia tidak berlaku pada 2018 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Pada PRU14, tiada satu parti pun memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan oleh itu Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah tidak terpakai.

"Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Datuk Yew Jen Kie dalam Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar & Anor [2020] 3 MLJ 49 seperti dinyatakan dalam muka surat 56, perenggan [17]," katanya.

Masidi berkata, ketika Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) pada 2020 juga tiada parti politik memenangi lebih 50 peratus daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sehubungan itu, berikutan tafsiran Perkara 6(7) oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, Tuan Yang Terutama pertama sekali memerhatikan bahawa tiada parti politik memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan dengan itu mengabaikan Perkara 6(7) sebagai tidak terpakai.

"Tuan Yang Terutama kemudiannya menjalankan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 6(3) dan melantik Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

"Oleh itu, Datuk Seri Hajiji Noor secara perlembagaan sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah," katanya.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar Bung Moktar pada malam Jumaat, BN dan UMNO Sabah telah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Hajiji yang melanggar perjanjian persefahaman politik antara BN Sabah dalam pembentukan kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.