Pahang mahu tuntutan pampasan RM17.1 billion

Wan Rosdy menjawab pertanyaan Khairuddin Mahmud dalam sidang Dun di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Wan Rosdy menjawab pertanyaan Khairuddin Mahmud dalam sidang Dun di Wisma Sri Pahang, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri bercadang untuk menuntut pampasan RM17.1 billion daripada kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung oleh kerajaan sebelum ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Pusat bagi mendapatkan pampasan di kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Menurutnya, kawasan seluas satu juta hektar telah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

"Bagi hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang dijadikan kawasan tadahan air, kos melepas bagi kerajaan negeri adalah berjumlah RM16.4 bilion.

"Begitu juga di Empangan Klau, Raub bagi membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor (PPAMPS) yang mana kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral dan premium hasil sawit dan cukai tanah di kawasan kira-kira 33,000 hektar, kos melepasnya berjumlah RM692 juta.

“Jumlah keseluruhan kos melepas yang ditanggung ialah RM17.1 billion..jadi dalam hal ini, kita akan berjumpa dengan kerajaan Pusat untuk meminta jumlah ini dan kemudian ditolak daripada hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 juta billion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan penggal kedua sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) bertanyakan kepada kerajaan negeri sama ada berhasrat atau tidak untuk menuntut pampasan tertentu dari kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah menghantar permohonan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapus kira pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus daripada jumlah pinjaman semasa.

Menurutnya, surat permohonan terbabit dikemukakan olehnya pada 25 Oktober tahun lalu.

“Bagi baki pinjaman kerajaan negeri yang tidak tidak dihapus kira akan diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

"Jadi sebagai balasan kerajaan negeri akan memindahkan aset tidak alih yang nilai bersamaan dengan jumlah pinjaman yang diambil alih oleh PAAB bagi tempoh 45 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Young Syefura Othman (DAP-Ketari) yang mahukan penjelasan berhubung maklumat terkini tentang langkah penstrukturan hutang kerajaan negeri.

Menyentuh mengenai hutang bekalan air, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan distrukturkan semula menerusi penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air negeri.

Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada terma-terma tawaran daripada Kerajaan Persekutuan serta rundingan bersama.

“Tapi setakat ini, kita masih belum menerima tawaran ini daripada kerajaan Pusat,” katanya.