Formula lain selain OPR

No Image Caption
A
A
A

KITA sudah memasuki tahun 2023 yang sebelum ini diuar-uarkan oleh ramai pakar ekonomi sebagai tahun yang mencabar apabila dijangka berlakunya kemelesetan ekonomi.

Di sebalik ramalan itu yang disokong dengan segala petunjuk dan justifikasi yang ada seperti perang Rusia dan Ukraine yang masih berlanjutan, kes Covid-19 yang mula meningkat serta kenaikan inflasi, kita masih dapat menarik nafas lega apabila MIDF Research yakin Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan ekonomi kerana permintaan domestik yang tinggi.

Permintaan domestik negara ini akan memberi sokongan kepada ekonomi yang didorong perbelanjaan pengguna yang berterusan, tekanan harga sederhana, peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan dan kemungkinan pemulihan infrastruktur.

Namun, ketika kita baru hendak menarik nafas lega, isu kadar dasar semalaman (OPR) kembali menjadi tumpuan apabila CGS-CIMB Research menjangkakan dua lagi kenaikan OPR akan berlaku, masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Walaupun pakar ekonomi melihat kenaikan berkenaan adalah perlu bagi mengekang inflasi dan mengukuhkan ringgit, rakyat biasa yang mempunyai pinjaman dengan bank agak tertekan dengan keadaan tersebut.

Mereka bimbang perlu mengeluarkan wang tambahan untuk membayar pinjaman bank, sedangkan pada masa yang sama bermula tahun ini rata-rata bayaran perkhidmatan seperti pusat asuhan kanak-kanak dan pengangkutan van sekolah telah menaikkan bayaran bulanan masing-masing.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam penentuan OPR tetapi rakyat tetap berharap kerajaan berbuat sesuatu bagi menangani isu tersebut.

Contohnya, kerajaan boleh menggunakan strategi lain yang sesuai dengan keadaan semasa ataupun formula di luar kebiasaan apabila berdepan inflasi supaya dapat mengelakkan kenaikan OPR.

Artikel Berkaitan:

Apa yang dibimbangkan ialah, kenaikan OPR tidak mampu membendung inflasi hingga menyebabkan pengguna perlu berdepan kesan berganda iaitu kenaikan jumlah pinjaman rumah dan lain-lain pinjaman bank dan pada masa sama perlu berdepan dengan kenaikan harga barang.

Inilah masanya formula ekonomi yang pernah dicadangkan sebelum ini diaplikasikan dengan segera supaya rakyat dapat melihat keberkesanannya dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat ketika ini.