Rasuah: Tiga ditahan lindungi kegiatan curi balak

Dua penjawat awam dan seorang pesara sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah. - Gambar hiasan
Dua penjawat awam dan seorang pesara sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua penjawat awam dan seorang pesara sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah.

Penjawat awam dan pesara berusia 40 dan 61 tahun ditahan kerana disyaki menerima ‘habuan’ bagi melindungi kegiatan mencuri kayu balak dari kawasan hutan simpan sekitar daerah Kuala Lipis.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik sebuah syarikat antara November 2019 hingga 2020.

Menurut sumber, suspek pertama yang juga penjawat awam ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberikan keterangan kira-kira jam 2.30 petang pada Khamis.

"Seorang lagi suspek ditahan kira-kira jam 7 malam pada Rabu," katanya.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan, SPRM Pahang turut menahan seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1,500 sebanyak dua kali daripada seorang individu sebagai balasan untuk melepaskan barang-barang disita sebuah jabatan kerajaan yang terbabit dengan aktiviti perhutanan.

Sumber berkata, suspek seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai menerima wang rasuah pada Disember 2018.

"Suspek ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub kira-kira jam 7 malam pada Rabu ketika hadir memberikan keterangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan itu.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.