Pemimpin kerajaan perlu hati-hati keluar kenyataan - Isham

Isham Jalil, Selangor Barisan Nasional information chief.
Isham Jalil, Selangor Barisan Nasional information chief.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin kerajaan diingatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan khususnya melibatkan dasar bagi mengelakkan sebarang isu ‘janji’ tidak ditunaikan.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, apabila berada dalam kerajaan yang bertindak sebagai pembuat polisi, sebarang kenyataan akan dianggap sebagai kenyataan polisi.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang bahaya kerana akan menjadi ‘legitimate expectation’ bagi rakyat.

“Jadi, bila kita berjanji sesuatu tapi tak buat, ia akan menjadi masalah kepada rakyat dan negara. Kalau dalam politik, bila kita berjanji tapi tidak ditunaikan, mungkin kita akan hilang sedikit kredibiliti.

“Tapi bila dalam kerajaan, rakyat boleh saman kalau kita tersilap cakap. Sebab itu bila saya tengok kenyataan yang dikeluarkan, saya ingin mengingatkan semua dan diri saya sendiri sebab UMNO dalam kerajaan.

“Kalau ada apa-apa yang perlukan teguran, saya akan tegur juga. Sebab apa kita buat macam ini? Kita bukannya mahu berikan tekanan tapi memotivasikan untuk lakukan kerja dengan lebih baik,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari Ketua Penerangan UMNO Malaysia bersama Agensi Media di Pusat Dagangan Dunia pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus dipersalahkan.

“Apabila Perdana Menteri kata, kadar kenaikan itu terserah kepada Bank Negara, saya tak salahkan beliau. Ini kerana kuasa menentukan OPR ini terletak di tangan Bank Negara.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada, Bank Negara berhak membuat keputusan. Sekarang, Gabenor Bank Negara yang kena jelaskan kerana itu bukan kuasa Perdana Menteri.

“Kita memang boleh ‘influence’ tapi keputusan adalah pada Bank Negara,” katanya.

Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata, kenaikan OPR tertakluk kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Katanya, walaupun kerajaan melalui Kementerian Kewangan boleh membincangkan perkara tersebut, Bank Negara yang berhak membuat keputusan.