'Nama saya, UMNO dan Johor Bahru sudah bersih' - Shahrir

Shahrir (tengah) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan gagal isytihar RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.
Shahrir (tengah) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan gagal isytihar RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Hari ini nama saya, UMNO dan Johor Bahru sudah dibersihkan, bukan atas permintaan kita tetapi pihak pendakwaan sendiri yang tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” kata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Sejak awal lagi pertuduhan terhadap saya adalah tidak munasabah dan agak longgar.

"Dalam prosiding terdahulu, saksi pendakwaan ke-22, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop telah mengesahkan bahawa pendakwaan terhadapnya dilakukan tanpa siasatan menyeluruh," katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Walaupun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu, namun Shahrir menyatakan beliau masih bersedih.

"Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini tetapi saya sedih sebab kes ini telah memberi gambaran kepada rakyat bahawa saya seorang ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang rasuah serta tidak berintegriti.

“Sedangkan, saya buat kerja dengan ikhlas malah saya sudah maklumkan kepada pihak berkuasa, kenapa saya ambil wang itu dan mengapa saya minta tolong daripada Najib,” katanya.

Shahrir berkata, semua itu dilakukan ketika beliau memikul tanggungjawab sebagai seorang ahli Parlimen demi membantu orang miskin termasuk membina rumah baharu.

Pada pagi Khamis, Shahrir dilepas dan dibebaskan atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.

Artikel Berkaitan:

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir.

Pemimpin UMNO itu turut diwakili peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad.